KATA orang, hidup akan menjadi lebih bersemangat apabila insan tersayang sentiasa di sisi menyokong apa yang kita lakukan.
Itulah kebahagiaan yang sedang dikecapi oleh artis versatil, Zulin Aziz yang kini tidak berselindung lagi mengenai kekasihnya, Farhan Norzaini.
Menurut Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, Farhan banyak memberi sokongan kepadanya dalam apa sahaja yang dilakukan terutamanya dalam mengusahakan bisnes Sambal Tujuh.
“Kami sama sama mencari rezeki. Sama sama nak membina masa depan yang indah. Jadi sokonglah perniagaan sambal kami di bawah nama sambaltujuh.
“Doa yang baik baik. Insya-Allah. Kami sedang berusaha mencari rezeki bersama. Semua ada impian dan cita-cita,” katanya yang sentiasa memanggil kekasihnya itu dengan gelaran B atau Baby menerusi kapsyen di Instagramnya.
Bagaimanapun, Zulin belum bersedia berkongsi lanjut dan mendalam mengenai kisah cintanya dengan jejaka berkenaan.
“Saya kenal dia sejak setahun lebih. Kami saling mengenali ketika saya masih berisi lagi. Tak ada istilah sudah kurus baru nak ada kekasih.
“Dia selalu menyokong apa saja yang saya buat termasuklah nak berniaga dan jadi rakan kongsi perniagaan. I Love You ‘B’,” katanya yang turut memohon maaf kepada teman media kerana bukan niatnya mahu berteka teki atau bermain tarik tali soal peribadi.
“Bukan saya nak mengelak untuk jawab lebih fasal kami. Cuma cerita kami biarlah kami berdua saja simpan.
“Nanti dah kahwin, kita sembang lain. Terima kasih,” katanya lagi. – WILAYAHKU