Berita

Zii Jia singkir wakil tuan rumah, mara ke suku akhir Olimpik

LEE ZII JIA terus menggalas cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mara ke suku akhir. Foto: AFP
- Diterbit 1 Ogos 2024 9:55 PM MYT

JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan selepas berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Paris sebentar tadi, bekas juara Asia dan All England itu membenam cabaran pemain tuan rumah, Toma Junior Popov menerusi kemenangan straight set 21-13, 24-22.

Biarpun berdepan sokongan padu penonton tuan rumah di Porte de La Chapelle Arena, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah yang berada di ranking ketujuh dunia itu kekal tenang bermain seperti biasa dengan memerlukan masa 18 minit sahaja untuk memastikan kemenangan 21-13 di set pertama.

Popov membuka tirai set kedua dengan mengutip mata pertama namun kesilapan dilakukan membenarkan Zii Jia mengikat semula kedudukan.

Set kedua kemudian berlangsung agak seimbang sebelum Popov yang berada di ranking ke-20 dunia mendahului permainan 13-12 namun Zii Jia kembali mengikat mata di kedudukan 14-14.

Kedua-dua pemain saling mengejar sehingga terikat 20-20 sebelum Zii Jia memuktamadkan saingan dengan keputusan 24-22 dalam tempoh 47 minit.

Untuk rekod, pertemuan ini adalah yang kelima buat kedua-dua pemain dengan Zii Jia memenangi kesemuanya.

Menanti Zii Jia di pusingan suku akhir esok adalah pilihan keempat dari Denmark, Anders Antonsen yang mendapat ‘bye’ pada pusingan 16 terbaik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas