JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila berjaya merangkul pingat kedua buat negara.
Pemain ranking ketujuh dunia itu meraih pingat gangsa menerusi aksi cemerlang ketika menentang Lakshya Sen dari India dengan kemenangan 21-16, 21-11 pada aksi penentuan tempat ketiga di Porte de La Chapelle Arena, Paris, sebentar tadi.
Pemain kelahiran Kedah itu membuka set pertama dengan aksi kurang memberangsangkan sehingga membenarkan Lakshya menguasai permainan dengan mudah.
Bagaimanapun, pada set kedua dia berjaya bangkit dan memberikan persembahan yang berbeza untuk mengheret aksi ke saingan penentuan.
Set ketiga menyaksikan Zii Jia beraksi dengan garang apabila pada satu ketika mendahului 9-2 dan Lakshya pula seakan bergelut dengan kecederaan tangan sekali gus membolehkan juara Terbuka Seluruh England 2021 itu membawa pulang gangsa.
Pada Ahad lalu, pemain berusia 26 tahun itu terpaksa akur dengan kekalahan 14-21, 15-21 kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Sebagai rekod, Zii Jia mara ke separuh akhir Olimpik apabila menewaskan wakil Denmark, Anders Antonsen dalam pertembungan suku akhir pada awal pagi Sabtu lalu.
Terdahulu, pingat pertama disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada perebutan pingat gangsa, semalam. – WILAYAHKU