Atlet Wilayah

Zaryssa mahu bawa cabaran negara ke Nepal

AKSI Zaryssa ketika UPSI Rugby Open 2023 yang diadakan pada Mei lalu.
- Diterbit 6 Ogos 2023 1:00 AM MYT

PEMAIN ragbi wanita Labuan yang juga atlet Wilayah Persekutuan, Zaryssa Awang, 19, teruja dan berharap ­tersenarai dalam skuad utama membawa cabaran negara dalam Kejohanan Ragbi Wanita Bawah 20 (B-20) 2023 di Kathmandu, Nepal pada 17 sehingga 24 Ogos ini.

Berkongsi mengenai persiapan yang dilakukan ­dalam memastikan dirinya ­tersenarai dalam skuad ­negara, Zaryssa berkata pasukannya kini sedang menjalani latihan intensif selama dua minggu ­sebelum pemilihan pemain dilakukan.

“Saya akan memberi ­tumpuan lebih kepada cara tendangan ­memandangkan posisi saya adalah standoff serta merangka strategi serangan di bahagian backline.

“Sehingga kini, kami ­giat ­menjalani latihan pada setiap hari dan satu hari akan diperuntukkan untuk berehat manakala ­daripada segi diet adalah di bawah ­pihak pengurusan Rugby Malaysia,” ­ujarnya kepada Wilayahku.

Pernah mewakili Malaysia ­sebanyak dua kali di Asia Rugby 2022 U20, Uzbekistan dan Asia Rugby 2022 U18 di Nepal, Zaryssa berharap dia dapat melaksanakan peranannya dengan baik.

“Sekiranya terpilih, ­diharapkan saya mampu mengawal emosi dan rasa gementar ketika berada di ­padang serta dapat bermain secara berpasukan dengan baik,” ujarnya yang menjadikan Michaela Blyde daripada pasukan Black Ferns ­sebagai idola kerana kepantasan ­serta kekuatannya yang luar biasa.

Menyimpan impian untuk bergelar pegawai pengurusan ­sukan, Zaryssa memilih untuk menyambung pengajian dalam ­jurusan Pengajian Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Kalau boleh saya mahu ­cemerlang dalam kedua-dua bidang yang saya ceburi sama ada sukan ­mahupun akademik meskipun ia tidak mudah kerana memerlukan komitmen yang tinggi,” jelasnya yang meletakkan sasaran untuk ­mewakili skuad Bunga Raya Tujuh Sebelah (7’s) wanita negara pada masa akan datang.

Memulakan langkah seawal usia sembilan tahun dalam sukan ­olahraga, walau bagaimanapun atlet ini mula bergiat aktif dalam sukan ragbi ketika berusia 14 tahun.

“Apa yang saya boleh ­kata ­adalah potensi untuk saya ­menyerlah dalam olahraga agak tipis jika ­dibandingkan dengan sukan ­ragbi,” ujarnya ­mengharapkan lebih ­ramai bakat baharu dapat dilahirkan ­terutama dalam kalangan anak Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas