PELAKON popular Zara Zya menganggap pengeluaran akaun flesksibel KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) memberi banyak manfaat kepada masyarakat namun itu bukan bermakna masyarakat harus membelanjakan semua wang yang ada.
Bagi Zara, perancangan awal dan rapi harus dibuat bagi mengelak timbul masalah kewangan.
“Bagi saya, kalau ada pencarum yang bercadang mahu keluarkan duit akaun 3 KWSP itu untuk dijadikan tabung kecemasan, saya sangat setuju. Tabung kecemasan memang sangat diperlukan dalam hidup kita kerana kita tak tahu apa yang akan berlaku.
“Banyak atau sikit duit dalam tabung, itu soal nombor dua. Saya melihat tabung kecemasan ini sebagai persediaan untuk menghadapi hari-hari sukar.
“Kegagalan membuat perancangan dengan tidak mempunyai tabung kecemasan amat membimbangkan kerana kita boleh jadi tertekan apabila memerlukan duit di saat getir. Kata orang, malang tidak berbau.
“Mungkin bukan untuk kita, tapi ia boleh digunakan untuk pasangan atau anak-anak apabila perlu menggunakan wang di saat kecemasan,” ujarnya.
Zara juga mengingatkan pencarum yang membuat pengeluaran akaun flesksibel ini bijak dalam mengurus kewangan dan tidak salah dalam membuat pelaburan.
“Pengeluaran KWSP tu bukan senang nak dapat. Jadi apabila dah dapat peluang ini, ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi yang terawal buat pengeluaran tersebut.
“Iyalah, nak ada duit terkumpul dalam KWSP tu bukannya senang, ambil masa bertahun-tahun. Ada yang berpuluh-puluh tahun. Kalau salah guna atau membeli perkara yang tak perlu, alangkah ruginya mereka.
“Kalau nak melabur pun boleh, tapi biarlah tempat yang betul, diyakini dan sah di sisi undang-undang negara. Janganlah melabur di tempat yang kita tak tahu sejauh mana ia diyakini boleh memberi pulangan yang bagus.
“Kalau salah pilih tempat melabur atau skim yang tidak sah, tanggung rugi satu hal, kehidupan pun jadi stres. Masa tu menyesal pun dah tak guna,” ujarnya.
Pelakon drama bersiri Love You Mr. Arrogant ini juga berharap pencarum tidak boros berbelanja dan sentiasa beringat duit sukar dicari.
“Kalau nak berbelanja tu, biarlah keperluan sahaja. Jangan beli sekadar nak beli atau suka-suka. Kalau nak beli apa yang kita suka tu, berpada-padalah. Kenalah beringat. Jangan akhirnya tak tahu ke mana habisnya duit itu.
“Duit ni bahaya. Mula-mula kita rasa, guna sikit sahaja. Sikit-sikit lama habis.
“Tak semua orang dapat merasa duit KWSP. Jadi mereka yang dapat tu sangat bertuah. Jadi manfaatkanlah peluang yang diberikan itu. Gunakan lah di jalan yang betul. Jangan boros.
“Zaman sekarang, duit susah nak cari. Bukan senang tambah pula kos sara hidup sekarang sangat tinggi,” tambahnya lagi.
Terdahulu , baru-baru ini KWSP telah memperkenalkan tiga akaun baharu iaitu Akaun Persaraan yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, untuk simpanan hari persaraan; Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2 untuk keperluan kitaran hayat semasa persaraan dan yang terkini Akaun 3 atau Akaun Fleksibel. – WILAYAHKU