Berita

Zaliha turun berkempen calon BN di DUN Mahkota

- Diterbit 23 September 2024 11:07 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turun berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota.

Katanya sebelum berkempen, beliau bertemu dan bersarapan bersama jentera PKR untuk PRK Mahkota di Bilik Gerakan Utama (BGU) PKR Taman Berlian Biru, Kluang.

“Alhamdulilah, saya melihat bahawa kesemua jentera PKR telah memberi komitmen yang baik supaya kemenangan berpihak kepada calon BN Syed Hussien Syed Abdullah yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah saya akan berkempen di DUN Mahkota dan bertemu dengan seramai mungkin pengundi-pengundi di sini,” katanya di Facebook.

Sementara itu, beliau turut meluangkan masa makan tengah hari di Medan Selera Anita bersama jentera PKR semalam.

“Berkesempatan juga menyantuni dan beramah mesra dengan penduduk tempatan yang turut menjamu selera,” katanya.

Beliau turut teruja berkesempatan minum kopi di The Original Kluang Rail Coffee yang telah bertapak sejak tahun 1938 di stesen lama KTM Kluang.

“Menariknya food hotspot tersebut merupakan kopitiam kereta api tertua dalam Malaysia Book of Records dan berikan vibes ala-ala retro.

“Pekena roti bakar dengan teh C kosong sebelum bergerak ke program seterusnya dan terus berkempen.

“Ingat pesanan saya pilih calon No 1 Syed Hussien Syed Abdullah dari BN untuk Mahkota,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas