Berita

Zaliha sumbang RM1,000 untuk 20 pemilik kenderaan terkesan banjir kilat

ZALIHA (kiri) mendengar taklimat yang disampaikan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud Presint 11 petang tadi
- Diterbit 10 Disember 2024 10:44 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyumbangkan RM1,000 kepada 20 pemilik kenderaan yang ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Presint 11 petang semalam.

Dalam hantaran di laman facebook, Zaliha turut menzahirkan rasa simpati kepada mangsa yang terkesan akibat insiden berkenaan.

“Banjir kilat tersebut berlaku disebabkan taburan hujan yang tinggi, iaitu tiga kali ganda dari taburan hujan yang biasa.

“Sejurus 15 minit selepas itu, saya dimaklumkan bahawa air telah pun mula surut. Alhamdulillah.

“Tetapi dilaporkan 20 kenderaan rosak kesan dari banjir kilat ini. Kawasan perumahan ini agak besar. Ada kira-kira 2,500 buah rumah, dengan anggaran penduduk sekitar 10,000 orang penduduk,” katanya.

Menurut Zaliha, pihaknya telah pun mengenal pasti punca banjir yang berlaku berikutan hujan yang lebat di bahagian hulu dan air telah naik dari Sungai Anak Gajah, menyebabkan aliran air tersekat mengakibatkan berlaku overflow di kawasan yang lebih rendah ini.

” Perbadanan Putrajaya (PPj) juga akan membuat parkir interim yang akan memuatkan kira-kira 200 kenderaan sebagai tindakan jangka pendek dan telah minta PPj untuk selesaikan dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Zaliha turut meminta PPj untuk menyediakan sistem amaram yang dilengkapi dengan penggunaan siren dan amaran kepada penduduk di kawasan ini untuk mengalihkan kenderaan dengan segera.

“Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan Internet of Things (IoT) di mana sensor akan dipasang di petak-petak penyelenggaraan saliran di seluruh Putrajaya untuk mengesan tahap ketinggian air,” katanya.

Ujar beliau, aliran air di kawasan perumahan ini menggunakan sistem culvert dan mempunyai keluasan yang besar.

“Tetapi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, hujan yang lebat tiba-tiba menyebabkan ia tidak dapat menampung kapasiti air yang terlalu banyak.

“Untuk jangka masa panjang, kita bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat kembali sistem saliran ini.

“Jika didapati memang tidak dapat menampung, kita akan ambil tindakan menambahbaik bagi mengelakkan perkara yang sama berulang,” katanya.

Zaliha berkata beliau melihat terdapat kemungkinan untuk berfikir lebih jauh ke hadapan dengan meneroka sistem yang lebih maju untuk pembangunan -pembangunan baru.

“Antaranya konsep sponge city, on-site stormwater detention (OSD) atau kolam takungan bawah tanah.

“Walaubagaimanapun, ini memerlukan kajian yang teliti sebelum dilaksanakan sebagai dasar baharu pembangunan di Putrajaya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas