Berita

Zaliha sasar 5,000 pokok manggis ditanam di Putrajaya

- Diterbit 8 Ogos 2024 10:55 AM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan mensasarkan sebanyak 5,000 pokok manggis akan ditanam di Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata langkah itu sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap pohon yang terpaksa ditebang, digantikan dengan 100 pokok baharu.

Dalam program Penghijauan Malaysia dianjurkan di Presint 18, Putrajaya semalam, Zaliha berkata sebanyak 50 batang pokok manggis telah ditanam.

“Kita dalam kempen penanaman seratus juta pokok dari 2021 hingga 2025. Sekarang ini di Putrajaya kita dalam program menanam pokok manggis,” katanya.

Menurut Zaliha, program seperti itu akan mendatangkan manfaat untuk menjadikan Putrajaya sebagai tempat penghijauan.

“Jadi inilah program yang kita laksanakan dan Insya-Allah akan tiba masanya nanti di Putrajaya ini kita mendapat manfaat bukan sahaja daripada pokok manggis tetapi penghijauan kepada Putrajaya,” katanya.

Pada 15 Mei lalu, Anwar mahu setiap pohon yang terpaksa ditebang, digantikan dengan 100 pokok baharu yang wajib ditanam semula. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas