MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak dalam satu kejadian malam tadi.
Dalam hantaran di laman Facebook, Zaliha berkata insiden tersebut berlaku melibatkan keluarga Hashim malam tadi di PPR Sri Semarak dan satu lagi melibatkan penyewa di unit milik Siti Zawiyah di Pangsapuri Gombak pada 13 Oktober lalu.
“Syukur Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Saya ingin zahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan Bomba dan orang ramai yang bersama-sama membantu memadamkan kebakaran tersebut.
“Tindakan mereka ini sewajarnya dipuji dan ini menunjukkan semangat kejiranan dan kepedulian yang tinggi dalam menjaga keselamatan komuniti, ” katanya.
Zaliha berkata bagi meringankan beban mereka, beliau turut menyampaikan sumbangan dari Jabatan Wilayah Persekutuan berbentuk wang tunai kepada mereka yang terkesan.
“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka, ” katanya. -WILAYAHKU