Berita

Zaliha pertimbang Labuan dijadikan pulau bebas cukai

- Diterbit 6 November 2024 11:21 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa akan mempertimbangkan cadangan mengoptimumkan Labuan sebagai pulau bebas cukai.

Katanya, perkara itu boleh dikaji dengan lebih lanjut dan dibawa ke peringkat tertinggi selepas pertemuannya bersama pengurusan Petronas Labuan yang juga pemegang taruh terbesar di wilayah itu terutama dalam industri cari gali, baru-baru ini.

“Ada beberapa cadangan dibangkitkan yang saya kira boleh dipertimbangkan termasuk cadangan mengoptimumkan Labuah sebagai pulau bebas cukai. Ini boleh kita kaji dengan lebih lanjut,” katanya.

Dalam pertemuan itu juga katanya, mereka bersetuju untuk meneroka potensi kerjasama dalam aspek pendidikan, pembangunan dan kesejahteraan komuniti serta alam sekitar yang dilihat bakal memberi manfaat kepada Labuan.

“Beberapa isu dan cabaran dibentangkan kepada saya khusus yang memberi impak kepada anak syarikat Petronas, iaitu Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd (PC Methanol), di mana syarikat ini merupakan pengeksport gas metanol terbesar di Asia Tenggara.

“Saya ambil maklum dan jelaskan bahawa kebanyakan isu dan cabaran ini telah pun diselesaikan dalam tahun ini seperti isu elektrik, isu air dan kelengkapan fasiliti di Hospital Labuan. Alhamdulillah, mereka menyambut baik penyelesaian tersebut,” kata Zaliha.

Perbincangan turut menyentuh potensi untuk meneroka peluang menarik pelaburan dalam industri pembuatan produk di Pulau Labuan dengan memanfaatkan keluaran gas metanol dari Petronas.

Katanya lagi, dia juga dimaklumkan bahawa loji janakuasa baru Petronas di Rancha-Rancha berkapasiti 120 Megawatt dijangka akan mula beroperasi suku pertama tahun 2028 dan akan memberi manfaat kepada rakyat Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas