Berita

Zaliha optimis selesai masalah legasi

- Diterbit 5 Januari 2024 10:30 AM MYT

SEJAK diamanahkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telahpun menyusun langkah demi memastikan warga Wilayah Persekutuan terus mendapat pembelaan sewajarnya.

Meskipun usia perkhidmatannya baru mencecah dua minggu, beliau sudah pun menggariskan perancangan serta menetapkan keutamaan dalam mencari penyelesaian masalah warisan yang memerlukan penyelesaian tuntas agar ia tidak berbangkit lagi pada masa depan.

Sebagai iron lady yang merupakan wanita pertama menjaga tiga Wilayah Persekutuan, beliau tidak melihat ia sebagai beban sebaliknya telahpun membuat perancangan demi meningkatkan taraf kehidupan rakyat selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pendahulunya.

Dalam wawancara eksklusif bersama dengan Wartawan Kanan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY bersama dengan jurufoto MOHD SHUAIB AYOB dan juruvideo AMINULLAH FARIJ HASSAN di pejabat beliau, Zaliha berkongsi aspirasi dan bertekad untuk meningkatkan keupayaan Wilayah Persekutuan dari segenap segi sekali gus meningkatkan lagi imejnya di peringkat antarabangsa.

Apa pandangan Dr mengenai portfolio baharu ini?

Tentunya bila berlaku rombakan Kabinet yang sebelum ini saya sebagai Menteri Kesihatan di mana saya sendiri dilatih sebagai sebahagian daripada sistem kesihatan sebelum ini, jadi ada satu nilai tambah. Terdapat beberapa perkara yang kita boleh lihat dan perjuangkan atas portfolio baharu ini dan sudah tentu sebagai bekas Menteri Kesihatan yang ditugaskan menjaga Wilayah Persekutuan, ia adalah satu perkara baharu.

Saya mengambil ini sebagai satu tanggungjawab dan yang keduanya adalah cabaran yang baharu kerana di jabatan yang tidak mempunyai menteri hampir setahun, jadi saya dapat merasakan ada cabaran yang perlu saya tangani dan mengambil alih tugasan yang sebelum ini dipegang oleh Perdana Menteri sendiri. Sudah tentu terdapat perkara-perkara yang perlu saya bawa selari dengan visi dan misi Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kita memacu Wilayah Persekutuan.

Saya lihat juga Wilayah Persekutuan ini satu portfolio yang unik, walaupun ia boleh dikatakan sebagai sebuah negeri yang meliputi tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tetapi tanggungjawab untuk menjaga tiga Wilayah Persekutuan ini sangat besar kerana saya lihat Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara yang bermaksud membawa imej yang besar untuk Malaysia. Apa yang kita lihat di Kuala Lumpur di bawah pentadbiran baharu Kerajaan Madani.

Yang keduanya adalah Putrajaya yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Sudah tentu dengan statusnya, ada jangkaan berbeza daripada orang ramai mengenai bandar ini dan yang terakhir adalah Labuan yang dikenali sebagai mutiara Borneo, sudah pasti ada jangkaan tertentu mengenai pembangunan di kawasan berkenaan kerana pulau itu mempunyai potensi yang berbeza dan Datuk Seri Anwar juga telah pergi ke Labuan dan memberikan komitmen untuk memajukan semula Labuan menjadi hab ekonomi dan pelancongan yang akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Selain daripada aspek pembangunan fizikal seperti di Kuala Lumpur, apakah lagi perkara yang menjadi fokus Dr untuk memajukan ketiga-tiga wilayah ini?

Saya ingin perbetulkan sedikit persepsi itu, sebenarnya selepas dua minggu berada di Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan mendengar taklimat daripada agensi-agensi di bawah JWP, saya nampak memang ada kebenaran bahawa pembangunan di Kuala Lumpur ini sudah agak tepu tetapi sebenarnya aspek pembangunan ini boleh dipertingkatkan lagi.

Contohnya Pembangunan Semula Kampung Baru yang dirancang untuk mewujudkan perbandaran baru yang turut mengandungi potensi lain yang boleh dibangunkan. Selain itu, tempat-tempat lain atau istilahnya pockets dalam bandar raya ini yang boleh dimaksimakan pembangunan dari sudut fizikal.

Kemudian Putrajaya, sudah tentu sebagai pusat pentadbiran yang mempunyai pelan utama sebagai bandar terancang turut mempunyai potensi lain yang boleh dibangunkan manakala Labuan pula dilihat agak ketinggalan dari aspek pembangunan fizikal dan saya lihat ada banyak ruang-ruang yang boleh dimanfaatkan. Untuk membangunkan sesebuah kawasan ada beberapa perkara yang perlu kita lihat terutama sosioekonomi kerana kita perlu membawa aspirasi Perdana Menteri yang mahu menoktahkan kemiskinan yang mesti dijadikan keutamaan.

ZALIHA (tiga kanan) optimis pembangunan di Putrajaya akan meningkatkan lagi imej bandar raya ke arah lebih berdaya huni dan vibrant sekali gus mampu menarik kedatangan pelancong. Foto: FARIS AZMI/PPj

Ketika saya mendengar taklimat dari agensi yang berkaitan, saya melihat tidak ada keseimbangan contohnya di Labuan memang diakui ia mempunyai potensi untuk lebih maju namun pada masa sama, kos sara hidup di pulau itu sangat tinggi yang menyebabkan ketidakseimbangan kerana kita masih ada golongan miskin dan miskin tegar di pulau berkenaan. Begitu juga dengan Kuala Lumpur, walaupun dipenuhi dengan bangunan pencakar langit dan kos sara hidup yang tinggi, namun kita masih perlu mencari jalan untuk menangani masalah miskin dan miskin tegar yang saya fikir perlu diatasi terlebih dahulu sebelum disusuli perkara lain.

Wilayah Persekutuan ini tidak lepas dari belenggu miskin bandar, apakah tindakan susulan Dr untuk menguruskan masalah tersebut?

Bagi saya kita kena rujuk semula dengan pendirian kerajaan. Kerangka Ekonomi Madani yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu boleh dijadikan panduan dalam menguruskan masalah tersebut. Apa yang paling utama dalam menguruskan masalah ini mestilah kita fikirkan kaedah penyelesaian dengan istilah berikan pancing dan bukannya ikan.

Saya juga lebih gemar untuk melaksanakan program yang bersifat exit program. Sudah tentu pada peringkat awal, golongan ini perlu dibantu tetapi berapa lama perlu dibantu, maka kerajaan mesti sediakan program yang jelas agar mereka ini dapat berdikari dan keluar dari kepompong kemiskinan dan ia mestilah mampu dikekalkan sekali gus mereka tidak lagi kembali menjadi golongan miskin.

Melalui pendekatan ini, saya yakin ia tidak mustahil dilaksanakan dan dengan apa yang diberikan oleh kerajaan contohnya Perumahan Madani, ini merupakan satu cara untuk membantu rakyat kerana mereka perlu hidup selesa dan banyak perkara yang kerajaan telah lakukan untuk memenuhi perkara ini. Saya juga mempercayai pendekatan secara whole nation, whole society kerana ia melibatkan sebuah negeri dan kita punyai pelbagai kementerian dan agensi yang mesti bekerjasama.

Apakah kekangan yang dihadapi oleh pihak jabatan untuk membangunkan imej Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan?

Perlu difahami bahawa bajet tahunan untuk Wilayah Persekutuan tidak tinggi dan pada masa sama kita perlu menjaga imej Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan kota metropolitan yang menjadi tumpuan pelancong antarabangsa. Begitu juga Putrajaya dan Labuan yang mempunyai imej tersendiri. Jadi setelah mengambil kira semua faktor tersebut, dengan bajet tahunan yang terhad dan untuk menghindari budaya kerja secara silo, saya yakin kita mampu membangunkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dengan bantuan bajet dari kementerian-kementerian lain.

Saya tidaklah terlalu bercita-cita tinggi, tetapi dalam membawa kemakmuran dan keselesaan untuk warga Wilayah Persekutuan, saya yakin ada kaedah untuk mempermudahkan perancangan untuk masa depan. Setakat dalam tempoh dua minggu saya mendengar taklimat, saya dapat mengenal pasti ­ruang-ruang yang boleh dimanfaatkan untuk mencapai sasaran.

Sebagai seorang wanita pertama yang diangkat sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, bagaimana kaedah untuk menguruskan perbezaan pendapat khususnya soal pembangunan dan kelangsungan hidup warga kota yang menatijahkan serangan berbaur politik terhadap Dr?

Saya selalu mengambil sesuatu tanggungjawab itu sebagai cabaran. Keduanya di sebalik perkara yang berlaku mesti ada aspek positif, mengapa ada orang yang bising? Mengapa ia menjadi bahan lensa media? Perkara yang dibawa itu tidak semuanya buruk, mungkin adalah sesetengah yang mungkin sengaja memperbesarkan perkara yang kecil dan tetapi bagi saya, ia terpulang kepada individu itu, mereka mempunyai hak untuk mengekspresikan apa jua pendapat tetapi kita perlu bijak untuk mengambil perkara yang menjadi keutamaan untuk diselesaikan segera. Bagi saya untuk mentadbir Wilayah Persekutuan ini mesti mempunyai keutamaan.

Walau apapun yang orang sebut tentang sesuatu perkara, saya suka letakkan diri saya begini, seperti yang kita tahu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mempunyai masalah warisan yang tidak dapat diselesaikan dalam pentadbiran yang lalu. Masalah warisan ini yang akan menjadi fokus orang ramai memandangkan kerajaan baharu dan menteri baharu, adakah mereka mampu selesaikan atau tidak kerana ia menjadi keutamaan orang ramai.

Antara fokus Dr adalah untuk menyelesaikan masalah warisan yang tertangguh sejak sekian lama, bolehkah nyatakan masalah tersebut?

Antara masalah warisan yang perlu saya uruskan adalah isu melibatkan Kampung Setia Jaya di Wangsa Maju yang menghadapi pengusiran untuk pembangunan kampus Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan ia telah berlanjutan 30 tahun. Ia merupakan masalah warisan yang boleh diselesaikan dan kita hendak jadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang terus membangun.

Isu ini sudahpun berlanjutan lama dan saya sebagai menteri mesti meletakkan keutamaan termasuklah bertemu dengan penduduk untuk mendengar rintihan mereka, selain itu saya turut bertemu dengan pemegang taruh yang lain termasuklah pihak Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR) itu sendiri dengan bermaksud mesti ada jalan penyelesaian bersama dengan keazaman politik dan will power.

Ada juga beberapa masalah yang tidak dapat diselesaikan disebabkan isu politik. Dan ini yang perlu diketepikan dalam keadaan kita hendak membangunkan Wilayah Persekutuan dan pembangunan yang hendak dipertingkatkan lagi, isu ini memang tidak boleh dipolitikkan kerana ia akan merugikan rakyat dan negara. Selain itu, masalah kebanjiran warga asing dan pembangunan Kampung Baru juga antara masalah yang perlu ditangani dengan sokongan semua pihak.

Dr ada menyebutkan mengenai isu yang membelenggu Kampung Setia Jaya dan pertemuan telahpun diadakan di antara kedua belah pihak, bolehkah Dr perincikan melalui garis masa bilakah masalah ini akan diselesaikan secara one and for all?

Sudah pasti saya hendak perkara ini diselesaikan segera dan kalau boleh dalam minggu ini. Namun untuk masalah seperti ini, kita terikat dengan birokrasi dan perlu melalui proses yang telah ditetapkan. Menerusi perbincangan dengan wakil Kolej TAR, mereka juga ada menyatakan beberapa perkara yang menjadi perhatian. Ada juga beberapa perkara yang menjadi perhatian penduduk di situ. Jadi kita perlu mengambil jalan tengah sebagai kerajaan untuk memudahkan kedua-dua belah pihak serta menawarkan jalan penyelesaian secara menang-menang untuk mereka pertimbangkan.

Kita telah dapat tahu melalui keputusan mahkamah yang mereka perlu keluar dari kawasan itu dalam tempoh 18 bulan dan penduduk kata tidak mungkin dan agak sukar bagi mereka dan kita ambil jalan tengah. Dan sekiranya Kolej TAR ingin membantu dari aspek penempatan semula, saya menjangkakan ia mungkin mengambil masa dari dua hingga tiga tahun untuk selesai.

Sebab itu, walaupun keputusan mahkamah telahpun ada, saya minta kepada pengurusan Kolej TAR untuk mempertimbangkan supaya penduduk yang terjejas mempunyai masa untuk mendapatkan penempatan baharu sekali gus dapat menutup ruang kepada mana-mana pihak yang mahu menjadikan ia sebagai isu politik. Saya sangat berharap, untuk penempatan baharu itu dapat diselesaikan.

Operasi menggempur penempatan yang dijalankan di Jalan Silang baru-baru ini mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai pihak, bagaimana pula dengan kawasan lain yang turut menghadapi dilema yang sama?

Selepas daripada operasi tempoh hari, kita minta supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) telah datang dan memberi taklimat mengenai keputusan operasi tersebut. Apa jua situasi dan solusi yang kita mahukan, kita perlu merujuk kepada fakta iaitu dari sudut data dan sebagainya. Sebab itu saya panggil untuk mereka menerangkan terperinci mengenai operasi berkenaan dan akhirnya kita perlu beri penyelesaian yang bertepatan dengan data-data yang kita ada.

Ada sesetengah keadaan ia hanya sekadar sangkaan semata-mata misalnya operasi itu digembar-gemburkan sebagai ‘Mini Dhaka’, walhal ia bukan menjadi tumpuan warga Bangladesh sahaja, bahkan ada dari Myanmar dan Filipina dan ini adalah perkara-perkara yang perlu kita lihat secara terperinci.

Saya berharap kaedah yang sama perlu diguna pakai untuk tempat-tempat yang lain. Sudah tentu melalui mata kasar, kita dapat lihat lambakan warga asing yang menguasai beberapa kawasan di Kuala Lumpur ini dan kesannya mestilah ada. Saya harap kita dapat maklumat yang terperinci dan tepat supaya hasil operasi ini mestilah tepat seperti yang kita mahukan.

Bagi saya di kawasan pusat bandar Kuala Lumpur Utara, cerita-cerita yang kita dengar warga asing menguasai kawasan itu, namun adakah fakta itu tepat dengan cerita yang digembar-gemburkan itu. Apa yang perlu dilakukan dan pasti yang akhirnya mestilah dalam situasi yang sihat.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas