MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memulakan lawatan rasminya ke China bermula semalam bagi meneroka peluang kerjasama bandar pintar dan pelaburan tinggi.
Beliau berkata lawatan kerja rasmi itu bersama pasukan dari Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) selama enam hari akan ke tiga bandar utama di sana, iaitu Hangzhou, Shanghai dan Shenzhen.
“Lawatan ke Hangzhou adalah rentetan dari kerjasama melalui Letter of Intent di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Perbandaran Hangzhou yang telah ditandatangani pada April lalu terkait projek KL20,” katanya di Facebook.
Zaliha berkata beliau dijadualkan bertemu mata dengan Mayor Yao Gaoyuan, Datuk Bandar Hangzhou dalam satu sesi makan tengah hari yang akan dihoskan oleh Yao untuk membincangkan ruang kerjasama tersebut dengan lebih mendalam.
Beliau berkata di Shanghai, lawatan kerja itu akan berfokus kepada potensi kerjasama twin city di antara Putrajaya dan Shanghai yang telah dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum ini.
“Delegasi yang turut melibatkan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) akan bertukar kepakaran terkait konsep bandar pintar, di mana kita tahu bahawa Shanghai telah terkehadapan dari aspek tersebut.
“Terakhir di Shengzhen, tumpuan kami lebih terfokus kepada kerjasama dengan prominent industry player dalam bidang teknologi seperti Huawei.
“Baru-baru ini, Huawei telah menyatakan hasrat mereka untuk melabur di Labuan dalam teknologi bandar pintar. Selain Huawei, kami juga akan turut berbincang dengan konglomerat teknologi yang lain seperti Tencent, BYD dan Baidu bagi mencipta ruang kolaborasi dengan mereka,” katanya.
Zaliha turut berharap lawatan itu dipermudahkan dan akan membuahkan hasil serta menarik lebih banyak syarikat yang berpotensi untuk melabur sama ada di Kuala Lumpur, Putrajaya mahupun Labuan. – WILAYAHKU