MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Daruk Seri Maimunah Mohd Sharif membantu 10 peniaga Bazar Deepavali di Brickfields yang tidak dibenarkan berniaga sebelum ini.
Beliau berkata selepas semakan dibuat, pihaknya mendapati pengurusan bazar tersebut dikendalikan oleh sebuah persatuan, termasuk berkaitan pengurusan peniaga bazar.
“Isunya adalah, kebenaran jumlah tapak yang diberikan oleh DBKL kepada persatuan tersebut adalah 20 tapak.
” Tetapi pihak persatuan telah tawarkan tapak perniagaan melebihi jumlah tapak yang dibenarkan.
“Jadi, disebabkan itu, tapak yang lebih itu diambil tindakan oleh DBKL. Bukan salah mereka. Tapi pihak ketiga yang menguruskan yang tidak ikut arahan yang ditetapkan oleh DBKL,” katanya dalam hantaran di facebook selepas melawat kawasan berkenaan malam tadi.
Ujar Zaliha, isu berkenaan bukanlah perkara baru, bahkan ketika Bazar Ramadan yang lalu turut berlaku isu yang sama dan perlu ada tindakan serius diambil.
“Saya telah arahkan DBKL untuk pastikan, semua bazar selepas ini tidak lagi diserahkan kepada pihak ketiga untuk dikendalikan, sebaliknya DBKL sendiri yang perlu menguruskan bazar tersebut,” katanga.
Menurut Zaliha, banyak implikasi lain yang terjadi jika serahkan kepada pihak ketiga untuk uruskan seperti ini.
“Contohnya, DBKL sewakan kepada pihak ketiga dengan nilai yang rendah, tetapi sewa itu akan dinaikkan oleh pihak ketiga tersebut.
“Fair enough… sebab semua pengurusan mereka yang buat, termasuk memeriahkan suasana bazar dan sebagainya, tetapi kos sewa tinggi yang disewa oleh mereka itu siapa yang akan tanggung? Sudah pasti akan diserap dalam harga jualan mereka,” katanya.
Zaliha berkata untuk kes di Brickfields ini, beliau telahpun menghubungi Datuk Bandar untuk membantu mempermudahkan urusan mereka yang terkesan berikutan sambutan perayaan Deepavali berbaki kurang lebih 10 hari.
“Saya minta DBKL untuk cari kawasan kepada mereka untuk berniaga dan bantu permudahkan lesen mereka. Ini masa untuk mereka cari sedikit duit untuk sambut Deepavali yang akan tiba,”katanya.-WILAYAHKU