MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyarankan agar perwakilan pemuda PAS Kawasan Machang, Mohd Sharif Mohd Azhari untuk menjadi pihak pembangkang yang lebih konstruktif.
Zaliha berkata ia susulan kenyataan perwakilan tersebut yang menyentuh kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dalam Muktamar PAS baru-baru ini.
“Respons saya selaku Menteri Wilayah kini ialah mahu menyarankan agar pemuda PAS belajar menjadi pembangkang yang lebih konstruktif. Cukup-cukuplah memperalatkan agama dalam memberi hujahan,” katanya menerusi platform X.
Jelas Zaliha umum maklum bahawa Al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk kepada manusia, bahkan penuh dengan peringatan yang boleh diambil dari kisah-kisah terdahulu yang dipaparkan tetapi janganlah tafsiran itu sewenangnya mengikut selera sendiri.
“Surah Al-Ankabut yang dipetik pemuda PAS tersebut itu pun penuh dengan kisah yang pelbagai, di antaranya kisah banjir besar di zaman Nabi Nuh AS.
“Justeru adakah wajar untuk kita katakan banjir besar yang pernah melanda Kelantan suatu ketika dahulu adalah bala yang Allah turunkan atas kesalahan mungkin beberapa pimpinan PAS Kelantan?
“Jika musibah berlaku terhadap diri sendiri atau negeri yang diperintah PAS maka ia dikatakan ujian tetapi jika musibah di negeri selainnya dikatakan bala pula?,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan untuk berhujah dengan sesuatu yang benar dan perlu rajin membaca serta mencari fakta yang tepat.
“Hujah yang dangkal hanya menunjukkan dangkalnya juga cara kita berfikir.
“Berkait dengan dokumentari KLCC yang dibangkitkan, sehingga kini kes pembinaan KLCC telah menjadi suatu ‘case study’ bagaimana teknologi boleh digunakan untuk membina bangunan di atas ‘soft soil’. Maka ini adalah suatu pencapaian dalam dunia pembinaan dan ianya berlaku di Malaysia.
“Apapun pada akhirnya yang penting adalah bagaimana sebagai seorang pemimpin dan pemerintah kita berdepan dengan permasalahan yang timbul dengan menggabungkan unsur redha tetapi dalam masa yang sama menangani dan menyelesaikannya dengan tenang dan kebijaksanaan.
“Mengambil kira pandangan mereka yang pakar dan kerjasama dari semua pihak harus juga dititikberatkan. Menuding jari dan mencari salah orang lain pastinya tidak akan dan bukan caranya untuk menyelesaikan sesuatu masalah,” ujarnya. – WILAYAHKU