Berita

Zaliha beri bantuan kepada mangsa ribut di Parlimen Sekijang

- Diterbit 3 November 2024 11:28 PM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa ribut kuat di Parlimen Sekijang.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata kejadian ribut kuat yang berlaku semalam mengakibatkan kira-kira 100 buah rumah terkesan di sekitar Kampung Tengah, Kampung Mengkudu, Bukit Lintang, Taman Sulir, Pekan Jabi dan kawasan sekitarnya.

“Ada yang bumbung rumah tercabut dan ada kereta dan motosikal yang dihempap pokok.

“Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah juga terkesan. Semuanya berlaku dalam tempoh yang singkat, hanya kurang lebih 15 minit sahaja,” katanya di Facebook.

Zaliha berkata hari ini beliau balik ke Sekijang untuk menziarahi mangsa-mangsa yang terkesan akibat kejadian tersebut.

Beliau turut menyerahkan bantuan bakul makanan.

“Semoga serba sedikit meringankan beban yang dihadapi oleh mereka. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul,” katanya.

Sementara itu, Zaliha turut memaklumkan beliau sempat bertemu dengan agensi-agensi kerajaan bagi meminta mereka membantu mempermudah dan mempercepat semua urusan kepada mereka yang terkesan.

Beliau berkata antara agensi yang ditemui adalah Pejabat Daerah Segamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Johor, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Islam Daerah, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama-sama beberapa orang mangsa.

“Kepada semua mangsa, didoakan agar dipermudahkan segala urusan mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas