Berita

Zaliha arah operasi SAR warga India diteruskan

- Diterbit 30 Ogos 2024 11:26 AM MYT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengarahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga India yang terlibat dalam insiden tanah mendap di Jalan Masjid India baru-baru ini diteruskan.

Beliau berkata operasi SAR diteruskan mengikut SOP sehingga suatu masa yang akan ditentukan kelak.

Menurutnya, keputusan itu dicapai selepas mengadakan satu mesyuarat khas semalam.

“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri, mesyuarat ini diadakan bagi tujuan menentukan hala tuju operasi mencari dan menyelamat, dengan mendapatkan pandangan dari pelbagai segi kepakaran.

“13 buah agensi yang terlibat terdiri daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA).

“Turut terlibat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Agensi Nuklear Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya di Facebook.

Terdahulu, Zaliha berkata operasi SAR telah pun masuk hari yang ke-7 semalam dan dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh pasukan DBKL, PDRM, BOMBA, JMG serta beberapa lagi agensi yang lain.

Beliau berkata sehingga kini tiada petanda positif mangsa ditemui walaupun pelbagai kaedah dan teknologi terkini seperti Ground Penetrating Radar (GPR) turut digunakan dalam membantu misi tersebut.

Sementara itu, Zaliha berkata keputusan meneruskan SAR itu akan dibuat berdasarkan faktor-faktor kepentingan dan keselamatan awam khususnya di kawasan sekitar Jalan Masjid India tersebut.

Beliau berkata DBKL akan menyelaraskan satu task force melibatkan agensi-agensi kerajaan dan pakar-pakar yang berkaitan untuk memastikan langkah yang perlu diambil bagi mencegah kejadian serupa daripada berulang.

“Ini (bagi) memastikan bandar raya Kuala Lumpur selamat kepada semua warga dan pengunjungnya,” katanya.

Zaliha juga berkata beliau menekankan keperluan kesegeraan pelaksanaan audit integriti terhadap keseluruhan sistem utiliti di Kuala Lumpur.

Beliau berkata ini sebagaimana saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas