SELURUH rakyat Malaysia diseru khususnya yang berada di kawasan terdedah kepada bencana banjir agar bersedia dan bersiap siaga di dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam menghadapi ancaman banjir yang diakibatkan oleh perubahan monsun.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, kesemua persediaan awal telah dilakukan.
“Saya telah memastikan persediaan awal seperti perancangan SOP menyelamat dilakukan sebaiknya dan mengharapkan kerjasama daripada semua agensi Kerajaan untuk dimobilisasikan secara berkesan dalam pelaksanaan segala langkah keselamatan.
“Saya yakin dengan koordinasi yang baik, kita dapat mengurangkan kesan atau dampak negatif dari bencana ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid turut mengarahkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) di peringkat Bahagian mahupun di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang berada di Kemaman ketika ini untuk sama-sama berganding bahu sekiranya sebarang bencana berlaku.
“Pengalaman jentera BN yang turun membantu akar umbi sebelum ini, sekurang-kurang dapat memberi bantuan awal dalam ketidaktentuan situasi banjir ketika ini.
“Saya mengingatkan sekali lagi agar rakyat Malaysia, khususnya di Kemaman untuk terus mematuhi arahan dan petunjuk yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan. Keselamatan anda adalah keutamaan kami.
“Akhir sekali, marilah kita berdoa agar kita dapat melalui ujian ini dengan kekuatan dan ketabahan. Saya yakin, dengan semangat kebersamaan, kita akan hadapi ujian ini dengan ketahanan dan kesabaran,” ujarnya. – WILAYAHKU