Selebriti

Zack Idris meninggal dunia

- Diterbit 28 Julai 2023 3:55 PM MYT

PELAKON era 1990-an, Zack Idris dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan kandungan air dalam badan di Hospital Shah Alam, petang Jumaat.

Zack atau nama sebenarnya Mohd Idris menghembuskan nafas terakhir pada usia 53 tahun selepas dikejarkan ke hospital akibat muntah dan pitam.

Bekas isterinya, Aliza Rafar berkata, sebelum meninggal dunia, apabila tiba di hospital Zack yang disahkan doktor mempunyai kondisi badan yang sudah teruk, dimasukkan ke zon merah kecemasan dan diberi bantuan oksigen seterusnya ditidurkan sejak semalam.

“Berdasarkan apa yang saya faham, ia berkaitan dengan kandungan air dalam badan dan arwah mengalami komplikasi jantung,” katanya.

Zack dan Aliza pernah berkahwin selama 18 tahun sebelum bercerai lapan tahun lalu.
Perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata.

Sebelum ini, Zack aktif sebagai pelakon dan pengarah, namun, bersara dari dunia seni dan banyak menghabiskan masa menjaga ibunya di kampung.

Antara karya yang membabitkan namanya termasuklah filem Johnny Bikin Filem, Penyair Malam, Syukur 21, Black Maria dan Cendol: Kepada Allah Aku Berserah, selain teater Sultan Alauddin Riayat.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas