Berita

YWP yakin pendidikan mampu ubah nasib golongan miskin

MAJLIS Penyerahan Dermasiswa IPTA YWP Tahun 2025 bertempat di Ruang Mayor’s Courtyard baru-baru ini.
- Diterbit 6 Mac 2025 1:04 PM MYT

HAMPIR empat dekad membantu golongan memerlukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, kini Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terus komited dalam merealisasikan misi dan visi untuk meningkatkan taraf hidup penduduk.

Malah, sebagai sebuah yayasan yang kukuh serta mampu menjana dan menguruskan dana dengan cekap dan efektif, YWP turut menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan miskin tegar serta membasmi kemiskinan.

Buktinya, YWP terus menjalankan objektifnya berdasarkan perkhidmatan dan gerak kerja yang tertumpu kepada lima kluster utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).

ABDUL BASIR

Mengulas tentang usaha yang dijalankan, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed berkata, bidang pendidikan dan sosial merupakan fokus utama YWP kerana ia mampu membawa seseorang itu keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Pendidikan merupakan perkara penting yang perlu dimulai sedari awal lagi sejak zaman kanak-kanak kerana melaluinya seseorang pelajar itu mampu mengubah hidup serta tidak mewarisi kemiskinan keluarga pada masa hadapan.

“Jadi, kami di YWP sentiasa membantu golongan pelajar dengan menyediakan pelbagai bantuan serta program agar mereka tidak tercicir sekali gus mampu berjaya sama seperti pelajar-pelajar daripada kalangan keluarga yang berada di atas paras garis kemiskinan,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, Abdul Basir berkata, antara bantuan yang diberikan adalah Bantuan Awal ke IPT, Dermasiswa IPTA, Dermasiswa Sekolah Rendah dan Menengah serta Dermasiswa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Misalnya Dermasiswa TVET, maksimum RM10,000 per pelajar termasuk pembiayaan yuran, elaun harian dan jaminan pekerjaan. Melalui tajaan Dermasiswa TVET tahun lalu, YWP telah berjaya membantu belia-belia Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur dan dari kampung-kampung di Labuan menamatkan kursus Sijil Gas Pipe Fitting.

“Pelatih yang berjaya menamatkan latihan dan lulus akan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB yang mengiktiraf mereka sebagai pekerja mahir seterusnya diberi penempatan kerja. Saya percaya melalui bantuan dan sokongan inilah memberi laluan serta memudahkan golongan ini untuk mencipta kejayaan.

“Hasil kerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara, pelajar diberikan kursus kemahiran jangka pendek dalam bidang teknikal dan vokasional di mana YWP juga menanggung kos perbelanjaan sebanyak RM170,000 meliputi tajaan kursus kemahiran, teknikal, vokasional dan logistik,” ujar beliau.

Berkongsi lanjut, Abdul Basir berkata, beliau dan pasukan YWP amat komited untuk memastikan bantuan pendidikan yang disalurkan YWP dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan.

“Saya letakkan diri sendiri sebagai satu contoh yang jelas, saya berasal dari kampung, ibu bapa bukan berpendidikan tinggi tetapi mereka telah menjadikan saya dan adik-beradik seramai enam orang sebagai graduan. Saya guna pakai perkara tersebut sebagai motivasi untuk membantu masyarakat di Wilayah Persekutuan kerana melalui pendidikan mereka mampu manaik taraf kehidupan,” ujarnya.

Tambahnya, YWP juga turut mengukur impak jangka panjang program terhadap keadaan sosioekonomi penerimanya melalui keputusan akademik penerima biasiswa, kadar penempatan pekerjaan bagi penerima bantuan TVET, keberkesanan bantuan makanan sekolah dalam meningkatkan kehadiran pelajar ke sekolah dan maklum balas daripada penerima bantuan dan pihak sekolah atau institut pengajian tinggi (IPT).

“Dari segi sosial pula, YWP turut menyalurkan Bantuan Khas Pertubuhan dan Persatuan, sebanyak RM2,000 setahun untuk NGO, dengan kelulusan khas sehingga RM100,000; Skim Khairat Kematian sebanyak RM1,000 bagi ahli sedia ada Skim Prihatin YWP serta Bantuan Anak Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu 50 peratus daripada kos yuran, maksimum RM500 sebulan.

“Selain itu, pelbagai skim bantuan yang disalurkan turut meliputi bidang ekonomi iaitu pemberian bantuan Mikrokredit dan Usahawan Muda Kota; bidang agama dengan membantu NGO secara one-off dalam urusan penganjuran majlis agama dan kelas mengaji dan belajar tajwid serta dari segi teknologi pula seperti Program Literasi Digital,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, YWP mengambil langkah untuk memastikan kemampanan dan skalabiliti bantuan khususnya dalam menangani punca kemiskinan bandar di Wilayah Persekutuan.

“Antaranya dengan menyesuaikan bantuan berdasarkan keperluan semasa, contohnya meningkatkan kadar bantuan makanan sekolah, menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta untuk menambah sumber dana dan memastikan peluang pekerjaan bagi penerima dana dan memperluaskan program latihan dan pendidikan seperti Dermasiswa TVET yang memberi penekanan kepada kemahiran dan jaminan pekerjaan,” ujarnya.

Katanya lagi, biarpun terdapat pelbagai cabaran dalam pelaksanaan bantuan namun YWP sentiasa berusaha sehabis baik dalam menanganinya.

“Kami sentiasa komited menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta untuk mendapatkan dana tambahan, selain itu turut menjalankan kempen kesedaran lebih meluas supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat memohon bantuan serta menjalankan sistem pemantauan berkesan bagi mengesan keberkesanan bantuan dan menyesuaikan dasar jika perlu.

“Alhamdulillah kami sentiasa disokong individu atau syarikat korporat yang mempercayai usaha YWP dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga kota,” ujar beliau lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas