Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

YWP, TV Alhijrah jalin kerjasama tingkat kesedaran bantu masyarakat

ABDUL RAHMAN menerima cenderahati daripada Nadzariah
- Diterbit 28 Jun 2024 12:20 PM MYT

PELBAGAI usaha giat dilakukan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam usaha memastikan masyarakat efektif membantu golongan yang memerlukan di Wilayah Persekutuan.

Seiring itu, YWP menjalinkan kerjasama strategik bersama TV Alhijrah selaku media elektronik yang mempunyai jangkauan luas dalam kalangan penonton yang rata-rata beragama Islam di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj, jalinan kerjasama itu mampu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang inisiatif serta program yang dilaksanakan YWP.

“Antaranya adalah melalui dokumentari khas yang menceritakan inisiatif YWP menyantuni rakyat lebih 38 tahun dan mempromosi bantuan-bantuan YWP selain kandungan berimpak positif.

“Ia juga akan menjadi salah satu medium penyampaian maklumat mengenai isu-isu komuniti yang relevan seperti pendidikan, kesihatan, kemiskinan dan usaha-usaha yang dilakukan oleh YWP untuk mengatasinya.

“Beberapa perkara juga telah diusulkan antaranya pertandingan atau peraduan berkaitan pendidikan serta latihan vokasional seperti kuiz, esei atau video kreatif,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, kerjasama tersebut dapat membantu dari segi pengumpulan dana melalui siaran televisyen dan juga platform digital sekali gus memperluas sokongan daripada sektor korporat dan individu untuk memastikan kelangsungan serta keberkesanan program-program YWP.

“Pemilihan stesen TV Alhijrah adalah tepat kerana ia selari dengan objektif YWP yang mahu berkongsi nilai-nilai murni termasuk berusaha ke arah memperkasakan komuniti dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Dengan sokongan dan penyertaan semua pihak, kita mampu mencapai matlamat bersama untuk kesejahteraan dan kemajuan komuniti,” ujar beliau.

Berkongsi perancangan akan datang, Abdul Rahman berkata YWP melalui anak syarikatnya, YWP Media berhasrat untuk bekerjasama dengan TV Alhijrah dalam pembangunan filem selaras dasar-dasar pembangunan negara.

Terdahulu, turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut, Ketua Pegawai Operasi TV Alhijrah, Nadzariah Mohamed; Pengerusi YWP Media, Datuk Afdlin Shauki Aksan dan Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti & Komunikasi Strategik YWP, Datin Ts Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas