Berita

YWP, SYOK Podcast Astro jalin kerjasama

SEKITAR kunjungan hormat SYOK Podcast Astro di Wisma YWP baru-baru ini.
- Diterbit 7 Jun 2024 3:00 PM MYT

KERJASAMA Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Syok Podcast Astro mampu meningkatkan kredibiliti YWP sebagai sebuah yayasan bertaraf negeri dan mempunyai tataurus yang baik.

Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti, Komunikasi Strategik dan IT YWP, Ts. Dr Ida Harlina berkata kerjasama bersama syarikat terkemuka seperti Astro memberi banyak manfaat kepada pihaknya dari pelbagai sudut.

“Pada mulanya pihak Astro membuka peluang dengan mana-mana agensi untuk berkongsi ilmu pengetahuan.

“Jadi kita rasakan itu adalah satu peluang yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya maka terjalinlah kerjasama ini.

“Melalui kerjasama ini juga, saya percaya ia dapat membantu meningkatkan lagi jenama YWP memandangkan mereka mempunyai jumlah tontonan dan pendengar yang ramai,” katanya.

Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan selain kerjasama strategik adalah usaha memperkasakan P.E.S.A.T (Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama & Teknologi) dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Antaranya program Astro Zayyan yang akan diketengahkan ialah program Imam Cilik, pertandingan mengaji dan lain-lain program dakwah.

“Manakala pihak YWP pula akan menampilkan beberapa panel istimewa untuk berkongsi maklumat dan pengalaman kepada orang ramai melalui rakaman SYOK Podcast di media sosial yang dijangka akan mula bersiaran pada Ogos tahun ini.

“Jutaan terima kasih juga diucapkan kerana untuk sesi pertama ini pihak Astro memberi enam slot percuma kepada YWP dan saya percaya sekiranya mampu mencapai kumpulan sasar yang tepat, maka ia dapat membantu meningkatkan kredibiliti YWP,” ujar beliau.

Tambahnya memandangkan Astro adalah satu nama yang besar maka mereka mempunyai satu sistem yang dapat mengukur berapa ramai pendengar dan tontonan untuk setiap podcast yang bersiaran.

“Dari situ kita dapat mengukur sejauh mana keberkesanannya. Saya percaya ia akan memberi impak yang baik terutama dari segi pemasaran YWP dan semoga selepas ini akan ada kerjasama seperti ini juga bersama media-media lain sama ada di Malaysia mahupun antarabangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama ini dapat memperluaskan jenama dan produk YWP kepada seluruh warga kota terutamanya.

“Diharapkan selepas ini juga akan lebih ramai warga kota mengetahui bantuan-bantuan yang ditawarkan serta mendapat pemahaman yang lebih lanjut mengenai peranan YWP itu sendiri,” Ujarnya.

Terdahulu, YWP menerima kunjungan hormat daripada Syok Podcast Astro yang diketuai oleh Ketua Unit Podcast Syok Astro Radio, Izzat Hakimi Tajul As’ari di Wisma YWP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas