BAGI meningkatkan motivasi dan semangat pelajar untuk terus berjaya, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menganjurkan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) baru-baru ini.
Seramai 300 pelajar yang terdiri daripada anak-anak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diraikan pada majlis yang turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).
Disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi YWP, Dr Zaliha Mustafa, pelajar yang terlibat menerima anugerah berupa wang tunai RM300 berserta sijil penghargaan.
Menurut Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Strategik & IT YWP, Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir, majlis tersebut tersebut meraikan 131 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajar Malaysia (SPM), 150 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan 19 kategori orang kurang upaya (OKU) SPM (pembelajaran, penglihatan, pendengaran dan fizik).
“Selain daripada APC, kita turut mengadakan sesi penyerahan Skim Biasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Skim Bantuan Awal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Skim Biasiswa Sekolah Menengah.
“Pemberian APC dan biasiswa bertujuan untuk mengalakkan penerima belajar dengan lebih tekun seterusnya dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
“Objektif kami adalah untuk melahirkan belia yang berilmu yang dapat mengubah taraf hidup mereka dari sebelum ini bukan pembayar zakat, selepas ini mereka pula mampu membayar zakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Ida Harlina berkata syarat mendapatkan bantuan di YWP adalah keluarga yang berpendapatan per kapita RM1,000 ke bawah.
“Ramai yang terkeliru dan mempersoalkan mengenai perkara itu. Katakan sebuah keluarga menjana pendapatan RM5,000 sebulan, keluarga itu mempunyai tiga orang anak dan ibu bapa, Apabila dibahagi lima bermakna seorang jatuh RM1,000 itulah yang dimaksudkan dengan pendapatan per kapita.
“Jadi mereka layak untuk memohon biasiswa dan skim bantuan persekolahan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, YWP turut mengalu-alukan sumbangan daripada individu atau syarikat korporat dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga kota.
“Sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Pendidikan Kebajikan & Pelajaran YWP di CIMB Bank (8001103675) atas nama Yayasan Wilayah Persekutuan serta catatkan kod Sumbangan Tabung YWP,” katanya.
Terdahulu, pada majlis tersebut sejumlah RM457,000 diagihkan kepada 429 pelajar yang terlibat.
Turut hadir Lembaga Pemegang Amanah YWP, Mohd Mustafa Ghazanfar; Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar DBKL selaku wakil Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ahmad Tarmizi Baharom; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, JPWPKL, Abdul Aziz Md Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Kampong Bharu, Dr Amir Raslan Abu Bakar. – WILAYAHKU