YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada lima keluarga golongan kurang berkemampuan di lima buah kampung di sini.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, pihak YWP sentiasa memberikan perhatian kepada warga pulau ini khususnya mereka yang memerlukan.
“Alhamdulilah, hari ini kita telah menyampaikan bantuan kepada lima buah keluarga yang membabitkan golongan asnaf dan yang menghidapi masalah kesihatan.
“Program seperti ini bukan program secara one-off namun ianya adalah program yang sentiasa dijalankan oleh YWP bagi memastikan golongan yang memerlukan terbela.
“YWP berharap dengan bantuan tersebut dapat meringankan beban kesemua penerima pada program ini,”katanya kepada pemberita pada program tersebut di beberapa kampung di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat GIAT MARA Labuan Datuk Raffi Ali Hassan, Pengurus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan Fadzli Md Saad.
Dalam pada itu, Gulam menyatakan bahawa YWP tidak mengetepikan warga pulau itu dan sentiasa melaksanakan pelbagai program dan bantuan yang boleh dimanfaatkan kepada penduduk Labuan.
“Antara program dan bantuan yang dilaksanakan oleh YWP kepada warga di tiga Wilayah Persekutuan termasuk di Labuan meliputi aspek pendidikan, kebajikan dan sosioekonomi,”katanya. – WILAYAHKU