DALAM memperkasakan aspek pendidikan di samping kebajikan warga kota di Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menyalurkan Skim Biasiswa Pengajian Tinggi kepada dua pelajar di Labuan.
Sesi penyerahan cek bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail kepada dua orang pelajar IPT yang diwakili ibu masing-masing.
Dua pelajar yang terpilih menerima biasiswa tersebut ialah Emillia Eron Mikat mahasiswi Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Mohd Azri Abidin mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan UNISZA.
Rithuan yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengarah YWP Mineral berkata, YWP begitu komited untuk memastikan nasib pelajar di Wilayah Persekutuan dapat dibela dan dibantu.
“Saya bagi pihak YWP mengharapkan dengan bantuan biasiswa ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya oleh pelajar kerana kita tahu bahawa kos pengajian itu amat tinggi.
“Dalam masa sama, saya mengucapkan kepada pihak YWP kerana tidak meninggalkan anak-anak Labuan dari segi pembangunan akademik khususnya kepada mereka yang melanjutkan pengajian di peringkat Universiti,”katanya ketika ditemui WilayahKu pada majlis penyerahan bantuan Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP di Wisma Perbadanan Labuan, hari ini.
Mengulas lanjut, Rithuan berkata sejak tahun 2015 hingga 2021, seramai 195 pelajar telah menerima manfaat Skim Biasiswa Pengajian Tinggi dengan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukkan RM5.5 juta.
“Ini adalah satu penghargaan YWP dalam membantu pelajar di tiga Wilayah Persekutuan. Kita sebagai warga Labuan menghargai inisiatif ini yang mana tidak melupakan Labuan dan memastikan ianya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelasnya. – WILAYAHKU.