Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

YWP rancang program khas sedia pusat jagaan prasekolah bantu yang memerlukan

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 27 Jun 2024 7:17 PM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) merancang untuk melancarkan program khas bagi menyediakan pusat jagaan kanak-kanak prasekolah untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Eksekutifnya Abdul Rahman Siraj berkata pihaknya turut bercadang menyediakan subsidi bagi bayaran prasekolah yang semakin meningkat pada masa ini.

“Program prasekolah ini selain dapat mengurangkan kos sara hidup, juga menyediakan kokurikulum berbeza dengan penekanan untuk memupuk nilai moral yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak,” katanya dalam berkongsi maklumat mengenai program-program bantuan yang dijalankan oleh YWP.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi pihak pengurusan Bernama di Wisma Bernama di sini hari ini, yang bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan.

Pertemuan disertai oleh Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Pengurus Kanan YWP Datin Dr Ida Harlina.

Sementara itu Abdul Rahman berkata pada pertemuan hari ini, YWP turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama strategik dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi tujuan perkongsian maklumat dan latihan.

“Kita mahu meletakkan pegawai-pegawai media kami buat sementara atau mengikuti latihan dengan pihak Bernama supaya mereka dapat belajar dengan lebih profesional dari segi editorial, infografik dan berkaitan pengurusan media selain mempelajari teknologi baharu dalam penggunaan media dan aplikasi.

“Ini kerana kami menyediakan berita melalui surat khabar untuk disebarluaskan kepada warga Wilayah Persekutuan, jadi pegawai-pegawai yang terlibat dengan media ini akan cuba diletakkan di bawah Bernama supaya mereka dapat ilmu baharu.

Abdul Rahman berkata pihaknya berharap satu Memorandum Persefahaman (MoU) dapat ditandatangani antara kedua-dua pihak dalam masa terdekat supaya kerjasama itu dapat direalisasikan dengan lebih berstruktur. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas