SEBANYAK 98 keluarga masyarakat India yang menetap di Rumah Panjang Bukit Kiara menerima bantuan menjelang perayaan Deepavali, tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata bantuan tersebut bagi meringankan beban penduduk yang akan meraikan Deepavali pada 31 Oktober ini.
“Kita mahu mereka menyambut perayaan ini dengan gembira tanpa perlu merisaukan perkara lain.
“Selain itu, ia bertujuan untuk mendekati masyarakat India dalam usaha mengeratkan lagi hubungan mesra dan penuh kasih sayang di antara satu sama lain,” ujar beliau.
Tambahnya sumbangan wang tunai berjumlah RM500 dan bakul makanan yang diberikan kepada setiap penerima disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“YWP sentiasa berusaha membantu golongan yang memerlukan melalui pelbagai inisiatif kebajikan dan akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk di Wilayah Persekutuan,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, seramai 500 lagi penerima bantuan diraikan YWP dalam Majlis Penyampaian Bantuan Deepavali 2024 bertempat di Auditorium Menara DBKL 1, Kuala Lumpur pada Selasa.
“Objektif utama majlis ini adalah untuk menyediakan bantuan kewangan dan barangan kepada mereka yang terkesan agar dapat menyambut Deepavali dengan lebih bermakna,” ujarnya.
Penerima yang terpilih menerima sumbangan bakul makanan serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM150,000.
Pada tahun 2024, lebih daripada 100,000 penerima bantuan telah disantuni oleh YWP dengan jumlah peruntukan sebanyak RM16.3 juta yang melibatkan lima kluster utama, iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (PESAT).
Terdahulu, Majlis Penyampaian Bantuan Deepavali 2024 disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin. – WILAYAHKU