Berita

YWP, RAC jalin kerjasama bangun projek komuniti

- Diterbit 4 Oktober 2024 4:13 PM MYT

BAGI memperkasa peranan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebagai sebuah institusi yang kompetan dan terkehadapan dalam aspek kemajuan warga kota, satu kerjasama telah dibentuk bersama Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

Menurut Timbalan Pengerusi YWP, Datuk Seri TPr Mahadi Che Ngah, ia membuktikan bahawa YWP sentiasa menyokong kemajuan warga kota melalui inisiatif yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Beliau berkata antara bentuk kerjasama yang telah dirangka adalah melibatkan projek pembangunan dan juga infrastruktur.

“RAC merupakan antara pemilik aset berkaitan pengangkutan di mana mereka boleh menyumbang dalam penyediaan fasiliti atau program sokongan untuk warga kota seperti pembinaan tapak perniagaan atau kios buat usahawan mikro sekitar kawasan milik RAC.

“Untuk makluman, pihak RAC dipilih kerana ia menguruskan aset strategik berkaitan pengangkutan yang berada di bandar dan ia boleh digunakan untuk membangunkan projek komuniti berkaitan dengan infrastruktur atau penyediaan kemudahan sosial.

“Kerjasama ini juga akan memberi manfaat besar kepada YWP untuk memperkasa warga kota, khususnya golongan berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, terutamanya dalam aspek ekonomi sosial,” ujarnya.

Tambah Mahadi, menerusi kerjasama ini akan membantu menaik taraf komuniti berpendapatan rendah serta golongan usahawan terpilih sekali gus membantu menaikkan ekonomi negara.

“YWP berharap kerjasama ini akan memberikan peluang yang lebih besar khususnya kepada usahawan kecil dan sederhana untuk membangunkan perniagaan mereka.

“Selain itu, diharapkan ia dapat memberi sokongan kepada usahawan dalam bentuk latihan, kemudahan modal dan akses kepada peluang pasaran yang lebih besar,” ujarnya kepada Wilayahku.

Terdahulu, Mahadi mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad bertempat di Kuala Lumpur. Turut sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas