Berita

YWP proaktif bantu golongan memerlukan

ROHANI (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan
- Diterbit 14 Jun 2024 3:00 PM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) terus proaktif dalam membantu serta meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya bagi golongan yang memerlukan di sekitar Wilayah Persekutuan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Rohani Hussin berkata pihaknya sentiasa cakna dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat khususnya bagi mereka yang ditimpa musibah, bencana, sakit yang melarat, fakir miskin dan warga emas yang susah.

Menurut Rohani, YWP juga melaksanakan pelbagai program pembangunan pendidikan, ekonomi, pembangunan sosial, pengukuhan agama dan penguasaan teknologi yang dapat membantu menoktahkan kemiskinan di kalangan rakyat Wilayah Persekutuan.

“Saya percaya banyak manfaat yang diperoleh buat masyarakat B40 di ketiga-tiga wilayah ini di samping membantu meningkatkan ekonomi masyarakat yang memerlukan.

“Selain bantuan barang keperluan, pihak YWP turut membantu daripada segi dana perniagaan, bayaran sewa, pendidikan dan pelbagai lagi agar mereka dapat menjana pendapatan sendiri sekali gus mengubah nasib hidup,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Khas YWP bersama Yang Berhormat (YB) Prabakaran Parameswaran Ahli Parlimen Batu di Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Batu, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Tambah Rohani, beliau turut meminta bantuan Ahli Parlimen serta orang ramai termasuk agensi korporat untuk tampil ke hadapan bagi membantu bersama-sama usaha membasmi kemiskinan di Wilayah Persekutuan.

“Golongan yang layak menerima bantuan ialah daripada B40, asnaf serta fakir boleh menerima bantuan, cumanya kita harap kerjasama daripada pihak Ahli Parlimen dan orang ramai.

“Pihak YWP ingin cuba mengurangkan serta membasmi golongan miskin kerana pihak YWP mempunyai dana serta sumbangan yang diterima untuk dikembalikan kepada rakyat,” jelasnya lagi.

Rohani berkata kerjasama itu juga sedikit sebanyak dapat menyalurkan bantuan terus kepada penerima selain mengurangkan ketirisan.

“Sudah tentunya pihak YWP akan melakukan penyiasatan kepada pemohon sebelum meluluskan permohonan kerana kita tidak mahu berlakunya pertindihan, seperti orang lain mengambil hak orang lain.

“Pihak YWP mahu membantu kesemua golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa serta agama kerana itu apa yang kami lakukan di YWP selama ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas