Berita

YWP, PREPKOM rai Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

SI cilik teruja meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan sambil mengibarkan Jalur Gemilang. - Gambar hiasan
- Diterbit 25 Ogos 2023 7:27 AM MYT

PUSAT Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) dibawah inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan menganjurkan pelbagai program dan aktiviti menarik bermula 24 ogos sehingga 24 September ini sempena Hari Kebangsaan ke-66 dan Hari Malaysia 2023.

Pegawai Eksekutif Muda Bahagian Komuniti dan Institusi PREPKOM, Jabatan Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti YWP, Muhamad Burhanuddin Saffani berkata, program tersebut khusus buat warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di 10 lokasi PREPKOM di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk menyemarakkan semangat kebanggaan dan patriotik dalam kalangan warga kota khususnya generasi muda di samping bersama-sama memeriahkan dua sambutan hari yang penuh bermakna ini selaras tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

“Antara program yang diadakan Pertandingan Mewarna Hari Kemerdekaan ke-66, Pertandingan Membina Replika/Tugu Kebangsaan dengan bahan terbuang, Kuiz Santai Hari Kemerdekaan ke-66 dengan tajuk Kenali Tokoh dan Informasi Kemerdekaan serta Majlis Bacaan Yassin yang akan diadakan pada malam 30 Ogos nanti di PREPKOM,” katanya kepada Wilayahku.

Burhanuddin berkata bagi Kuiz Santai Hari Kemerdekaan, ia terbuka kepada murid sekolah rendah berumur 9 hingga 12 tahun di mana mereka perlu melengkapkan jawapan yang betul bagi setiap kuiz tersebut manakala Pertandingan Membina Replika/Tugu Kebangsaan pula terbuka kepada murid berumur 11 hingga 15 tahun.

“Kami buka kepada lima kumpulan sahaja (maksimum tiga orang dalam satu kumpulan) dan peserta dikehendaki membawa sendiri barang terbuang seperti tin, botol, kertas dan lain-lain.

“Begitu juga dengan pertandingan mewarna, ia terbuka kepada 10 orang kanak-kanak berumur 8 hingga 12 tahun yang tinggal di PPR/PA dan dikehendaki membawa peralatan mewarna sendiri,” ujarnya majlis pelancaran program tersebut dirasmikan oleh Pengurus Besar Jabatan Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti, Zahrulail Abdul Rahman di PREPKOM PPR Hiliran Ampang pada 24 Ogos.

Katanya, majlis perasmian itu bakal dimeriahkan dengan nyanyian lagu kebangsaan, simulasi kemerdekaan, deklamasi sajak, pantun dan pelbagai program lagi.

Sehubungan itu, Burhanuddin turut mengambil kesempatan mengajak seluruh warga PPR/PA hadir memberi sokongan terhadap program-program yang dianjurkan agar sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini dapat disemarakkan dengan penuh perasaan bangga dan taat setia kepada negara.– WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas