BAGI menjaga kebajikan dan pendidikan warga Wilayah Persekutuan (WP), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperuntukkan sejumlah RM29,000 untuk penganjuran Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah.
Menurut Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWP, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, program tersebut bertujuan mengurangkan kesalahan tradisi bacaan Al-Fatihah terutama dalam kalangan orang muda.
“Kem pemantapan solat ini penting bagi memperbetulkan bacaan anak-anak memandangkan ia adalah rukun solat jadi sekiranya terdapat kecacatan atau salah bacaan maka tidak sah solat.
“Ia juga untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bacaan dan amalan yang sempurna dalam solat lima waktu. Itu yang perlu kita beri keutamaan terlebih dahulu sebelum pendedahan mengenai asas yang lain pula,” ujar beliau.
Terdahulu, Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah Peringkat WP Kuala Lumpur diadakan di Masjid ArRahah Bangsar South, Kampung Kerinchi. Ia merupakan program keempat yang dilaksanakan mengikut daerah pendidikan iaitu Sentul, Keramat, Pudu dan Bangsar.
Tambahnya, program tersebut juga ke arah melahirkan kanak-kanak yang lebih berakhlak dan menjiwai agama Islam yang sebenar seterusnya membentuk peribadi yang baik dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Sementara itu, menurut rakan strategik selaku penganjur program ini, Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Wilayah Persekutuan, Puan Sri Hanifat Harun berkata program tersebut menerima seramai 624 peserta terdiri daripada murid terpilih tahun 5 dan 6 serta guru-guru pengiring daripada kesemua sekolah rendah di WP Kuala Lumpur.
“Program ini tidak hanya menyasarkan sekolah kebangsaan malah tumpuan juga diberikan kepada pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil kerana di sana juga ada pelajar Muslim yang perlu diberi tunjuk ajar.
“Mudah-mudahan dengan cara kita menunjukkan bahawa Islam itu mudah dapat menarik bangsa lain untuk lebih mengenali agama kita,” ujarnya.
Selain YWP, program tersebut merupakan anjuran bersama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) WPKL, Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur (JPWPKL), Majlis Agama Islam WP (MAIWP) dengan rakan strategik Pergerakan Puteri Islam Malaysia WPKL, Kumpulan Pengajian Al-Quran Mengejar Cinta Illahi (MCI) dan Tenaga Pembimbing Tajwid.
Turut hadir Pengarah Pendidikan JPWPKL, Roslan Abu Hassan; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Rohani Hussin. – WILAYAHKU