Berita

YWP Media‚ PL jalin kerjasama

AFDLIN (kanan) menerima plak cenderahati daripada Rithuan (kiri) ketika kunjungan hormat ke Perbadanan Labuan.
- Diterbit 13 September 2024 4:42 PM MYT

SELARI dengan hasrat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa yang mahu memacu semula pembangunan ekonomi dan pelancongan, YWP Media Sdn Bhd bersedia memberikan kerjasama erat dengan Perbadanan Labuan (PL) bagi mempromosikan potensi yang dimiliki Labuan menerusi penyaluran maklumat dan media massa.

Keutuhan dalam jalinan kerjasama secara erat itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat YWP Media Sdn Bhd yang diketuai  Pengerusinya, Datuk Afdlin Shauki kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail di Wisma Perbadanan Labuan baru-baru ini.

Sesi pertemuan kedua-dua pihak selama hampir dua jam itu turut membincangkan potensi dari sudut ekonomi dan pelancongan di Labuan dan beberapa kekangan yang membelenggu pulau itu.

Pada sesi tersebut, Rithuan turut menerangkan beberapa pendekatan yang sedang dilaksanakan menerusi konsep 5S yang merangkumi fenomena matahari terbit dan terbenam, pantai yang bersih, makanan laut segar, bebas cukai dan aktiviti sukan laut.

Menurut Pengerusi YWP Media Sdn Bhd, Datuk Afdlin Shauki, pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan pihak PL untuk mempromosikan potensi Labuan khususnya dalam memacu sektor pelancongan.

Katanya, dengan kerjasama yang erat itu mampu memberikan peluang dan ruang kepada PL sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) mengetengahkan keunikan serta produk pelancongan yang berpotensi besar menerusi platfom media massa dan cetakan YWP Media.

Terdahulu, hadir sama Ketua Pengarang YWP Media Sdn Bhd, Abie Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat PL, Dayang Salmah Abbas. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas