PENGARAH urusan Syarikat Tahap Warisan Sdn Bhd, Datuk Tong Kim Eng berpuas hati dengan pelaksanaan serahan sumbangan dan bantuan yang dilaksanakan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terhadap warga kota yang memerlukan.
Beliau yang merupakan penyumbang utama Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP berasa teruja apabila turut diberi peluang menyampaikan sumbangan kepada penerima-penerima di samping menyelami kesusahan yang ditanggung oleh golongan berkenaan khususnya keluarga berpendapatan rendah (B40).
“Saya sangat gembira kerana diberi jalan dan peluang untuk menyampaikan sendiri sumbangan kepada mereka. Semoga saya dapat memberi dan menyalurkan sumbangan tersebut melalui YWP pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan Sumbangan Bantuan Khas YWP di Bangunan Giatmara Batu, Jalan Batu Muda, baru-baru ini.
Pada sesi tersebut, sumbangan one-off berupa wang tunai diberikan kepada tujuh penerima keluarga B40 di sekitar kawasan Parlimen Batu dan sumbangan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP iaitu Gulam Muszaffar Gulam Mustakim dan Rohani Hussin serta Pengarah Eksekutif Oval Success Sdn Bhd, Datuk Zaidi Ujang.
Mengulas lanjut, beliau turut meyakini dan percaya bahawa YWP akan melaksanakan segala misi yang ditetapkan seiring dengan gerak kerja yang tertumpu kepada lima kluster utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T) serta tidak menolak untuk melakukan sebarang kerjasama bersama YWP dalam program-program kebajikan lain pada masa akan datang.
Untuk rekod, Syarikat Tahap Warisan Sdn Bhd merupakan penyumbang dana terbesar dalam Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP yang mana pihaknya telah menyumbang sebanyak RM1 juta.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim syukur apabila sumbangan kepada tujuh penerima tersebut dapat disempurnakan sebaiknya.
Gulam berkata penyerahan bantuan atau sumbangan yang dilaksana oleh YWP adalah tertumpu kepada individu dan keluarga yang benar-benar memerlukan selain mengikut kriteria yang ditetapkan.
“Agihan bantuan YWP adalah berdasarkan kriteria kes yang melihat kepada aspek bentuk dan keperluan sumbangan atau bantuan yang diperlukan oleh individu atau keluarga berkenaan.
“Kebiasannya rakan strategik dan kakitangan YWP akan turun padang untuk membuat tinjauan dan setiap sumbangan yang diberi majoritinya adalah dalam kalangan B40. Proses pemberian sumbangan ini ringkas sahaja misalnya kalau mereka perlukan sumbangan perubatan, nyatakan dokumen hospital dan keperluan yang diperlukan kemudian kita proses dalam tempoh dua minggu dan seterusnya serahan dilaksanakan,” jelasnya. – WILAYAHKU