YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) bercadang mahu menubuhkan pejabat urusan di Labuan dalam membantu golongan yang memerlukan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP, Dr Abdul Basir V Kunhimohamed, hasrat untuk mewujudkan pejabat urusan YWP di Labuan merupakan perancangan yang telah dicadang sejak beberapa tahun lalu, namun ia belum diputuskan susulan beberapa perkara yang perlu dibincangkan.
Katanya, dalam menambah baik perkhidmatan agensi itu, keperluan mempunyai pejabat urusan di Labuan merupakan satu keperluan yang harus dibawa agar setiap bantuan yang disediakan oleh YWP dapat disampaikan kepada masyarakat di pulau itu.
“Saya melihat keperluan itu (pejabat urusan) perlu kita wujudkan memandangkan buat masa ini kita belum mempunyai fasiliti itu di sini. Jika cadangan ini dilaksanakan sudah tentu ia dapat memberikan kemudahan kepada masyarakat di sini untuk membuat permohonan bantuan yang kita sediakan.
“Bagaimanapun cadangan ini masih dalam perbincangan dan ia belum lagi dapat dimuktamadkan serta perlu mendapat persetujuan daripada Pengerusi YWP iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa,” katanya kepada Wilayahku.
Mengulas lanjut, Abdul Basir memaklumkan pihaknya kini dalam perancangan untuk membuka beberapa perniagaan berdasarkan potensi yang ada di pulau itu.
“YWP juga sedang merancang untuk meneroka peluang yang ada di sini khususnya dalam bidang perniagaan yang kita lihat berpotensi besar.
“YWP turut memiliki beberapa anak syarikat yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan seperti pengiklanan dan parkir. Saya melihat Labuan ini mempunyai potensi tersendiri dan kita akan mengenal pasti perniagaan yang sesuai dilaksanakan kelak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, S. Roslee Matusin menyambut baik cadangan pihak YWP untuk membuka pejabat urusan bagi memudahkan masyarakat dan pihaknya mengadakan urusan secara terus.
“Saya mewakili pihak MPP Zon Labuan amat bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh pihak YWP untuk mewujudkan fasiliti itu (pejabat urusan) memandangkan ketika ini penduduk di sini hanya dapat memohon bantuan YWP secara dalam talian.
“Jika pejabat YWP diwujudkan di Labuan, ia turut memudahkan golongan warga emas dan asnaf untuk berkunjung ke pejabat bagi memohon bantuan yang disediakan oleh YWP.
“Dalam masa sama turut memudahkan pihak MPP berhubung dengan YWP untuk terus memperkasakan mereka yang memerlukan bantuan dari segi pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi,” katanya. – WILAYAHKU