ISU kemiskinan bandar bukanlah perkara baharu sebaliknya ia menjadi tumpuan utama kerajaan dalam melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menoktahkannya.
Selari dengan objektif penubuhannya, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa komited membantu menaik taraf hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan memerlukan di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menurut salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya,

berkata fokus utama adalah untuk mendapatkan dana atau peruntukan bagi melaksanakan program-program yang dirancang.
“Untuk itu, kita memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan sokongan agensi kerajaan, syarikat atau individu dalam membantu kerajaan meleraikan isu kemiskinan bandar tersebut.
“Antara program yang kita lihat dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat adalah mewujudkan platform digital dan fizikal buat golongan suri rumah mendalami ilmu kemahiran seperti jahitan, masakan, kraf tangan dan sebagainya.
“Secara tidak langsung, mereka boleh menstabilkan kembali dan membantu ketua isi rumah iaitu suami, menambah wang simpanan selain menaik taraf kehidupan mereka sekeluarga,” kata beliau kepada Wilayahku.
Dr Bashir yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Segambut turut berharap warga kota mengambil kesempatan melayari laman web rasmi YWP untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan apa jua aktiviti, program termasuk bantuan yang disediakan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut berkata baru-baru ini, Program Pendidikan The English Camp in Segambut bersama 100 pelajar sekolah rendah telah dianjurkan untuk menarik minat kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris.
“Program ini mendapat sokongan dan penyertaan daripada universiti antaranya Universiti Sunway, Universiti Lancaster, Universiti Falmouth, Universiti Birmingham termasuk tenaga pengajar sukarela,” kongsi beliau. – WILAYAHKU