YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) tidak pernah mengabaikan Wilayah Persekutuan Labuan dalam menyampaikan sebarang bantuan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Gulam Muszaffar Gulam Mustaqim berkata sejak ditubuhkan, YWP sentiasa cakna dengan setiap keperluan warga Labuan dari segi kebajikan, pendidikan dan sebagainya.
“Mungkin terdapat sedikit masalah komunikasi yang membuatkan program sampingan kita kurang diuar-uarkan kepada rakyat Labuan.
“Sebagai contoh kita mempunyai Program Bantuan Wang Belanja Harian di mana wang saku sebanyak RM7 sehari diberikan kepada pelajar terpilih dan seramai 100 lebih pelajar telah menerima manfaat,” katanya ketika sesi Podcast Masa Rehat baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Gulam berkata pihak YWP turut menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Kita sudah menghantar seramai 13 warga labuan bagi mengikuti kursus TVET dengan jumlah kos RM10,000 seorang.
“Ada beberapa program lain juga yang kita akan tawarkan seperti Derma Siswa IPT di mana RM700 akan diberikan secara one off kepada mereka yang layak berdasarkan beberapa kriteria yang kita akan lihat.
“Tidak lupa juga untuk pelajar IPT yang cemerlang dan berjaya memperoleh keputusan CGPA 3.00 dan ke atas bantuan sebanyak RM3,000 diberikan.
“Program YWP adalah khas buat tiga wilayah sahaja dan kita memberi fokus kepada golongan berpendapatan rendah (B40) iaitu RM4,000 ke bawah,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Program Back To School juga akan diadakan semula di Labuan bagi membantu anak-anak kecil untuk meneruskan sesi persekolahan mereka.
“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan buat Program Back To School tetapi buat masa ini ia masih dalam perancangan untuk dilaksanakan di semua Wilayah Persekutuan.
“Saya bagi jaminan bahawa Labuan tidak akan terpinggir untuk program tersebut,” ujarnya.
YWP mengalu-alukan sumbangan daripada individu atau syarikat korporat dalam usaha meningkatkan taraf hidup warga kota.
“Sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Kebajikan & Pelajaran YWP di CIMB Bank (8001103675) atas nama Yayasan Wilayah Persekutuan serta catatkan kod Sumbangan Tabung YWP,” katanya.