Berita

YWP ejen saluran dakwah zakat di WP dengan kolaborasi bersama PPZ-MAIWP

KEBANYAKAN program kebajikan yang dilaksana YWP meluas dan turut memfokuskan umat Islam. - Gambar hiasan
- Diterbit 31 Mei 2024 12:20 PM MYT

PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yakin dan percaya bahawa Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mampu menjadi ejen dalam menyalur dan menyebarluaskan dakwah zakat kepada masyarakat khususnya umat Islam di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata melalui pengalaman YWP dalam bidang pengurusan bantuan sejak ditubuhkan pada tahun 1986, pihaknya percaya yayasan ini mampu memenuhi keperluan kumpulan sasar memerlukan serta membantu meningkatkan kepercayaan masyarakat untuk terus menunaikan zakat di PPZ-MAIWP.

Katanya, ia adalah sebahagian langkah untuk membantu kumpulan sasar memerlukan di samping memperoleh bantuan mendapatkan kepercayaan pembayar-pembayar zakat.

“Kami memikirkan apa inisiatif yang boleh dilaksana untuk pembayar zakat di WP dan saya melihat kebanyakan program-program kebajikan yang dilaksana YWP adalah meluas dan ia juga turut memfokuskan kepada umat Islam menerusi bantuan zakat daripada pihak individu mahupun syarikat-syarikat korporat.

“Saya percaya YWP boleh menjadi ejen atau pemudah cara kepada PPZ-MAIWP bagi memberi pengetahuan dan menyebarluaskan dakwah zakat selain saya juga yakin pelaksanaan program-program mereka adalah berlandaskan polisi pembangunan dan memenuhi syariat seperti mana yang ditetapkan dalam Al-Quran.

“Disebabkan itu saya rasa kolaborasi yang dijalinkan ini adalah bagus dan perlu diteruskan,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Wilayahku.

Menerusi kolaborasi itu, pihaknya kini sedang giat melaksanakan program-program kebajikan bersama YWP melalui Skim Wakalah atau Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat di bawah PPZ-MAIWP.

Terbaharu, kedua-dua pihak sedang melaksanakan Bantuan Pemakanan Sekolah kepada 111 sekolah menengah yang terpilih di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan melalui skim atau dasar wakalah tersebut.

“Skim atau Dasar Wakalah ini adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh PPZ-MAIWP kepada pembayar-pembayar zakat terdiri daripada individu, syarikat mahupun majikan yang menunaikan zakat di mana sebahagian daripada zakat yang ditunai akan disalur kepada mereka yang kurang berkemampuan secara persendirian.

“Program ini akan menggunakan dana wakalah pembayar zakat di mana pelajar-pelajar beragama Islam yang terpilih akan menerima bantuan makanan berkhasiat serta susu berkualiti secara percuma bernilai RM7.

“Dari segi pelaksanaannya, ia akan diuruskan oleh pihak YWP dan kami sebagai mediator bertindak mencari pewakalah-pewakalah untuk membantu pelaksanaan program tersebut.

“Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pemegang wakalah terutama individu dan badan korporat yang sudi menghulurkan bantuan dan saya menyeru masyarakat untuk menjadi sebahagian penyumbang dana wakalah bagi membolehkan bantuan-bantuan kepada golongan B40 dan asnaf ini dapat dilaksanakan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas