“SAYA bukan datang dari keluarga yang senang,” itu luahan salah seorang penerima Skim Bantuan Awal IPT Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Abdul Azim Abd Rahman, 21.

Menurutnya wang bantuan yang diterima digunakan untuk membeli barang-barang keperluan asas diri seperti baju, kasutdan sebagainya untuk dibawa ke universiti.
“Alhamdulillah saya bersyukur ketika mendapat tahu permohonan saya diterima. Sejujurnya saya tidak sampai hati untuk menyusahkan keluarga kerana kami bukan orang senang.
“Saya tak nafikan kos persediaan untuk ke universiti agak mahal juga. Jadi tidak hairanlah ada yang terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran,” ujarnya kepada Wilayahku.
Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini mengakui mahu belajar bersungguh-sungguh untuk membantu lebih ramai yang memerlukan pada masa hadapan.
“Peluang yang saya dapat hari ini tak akan disia-siakan. Saya akan berbakti kepada masyarakat sebagai seorang doktor yang hebat satu hari nanti. Insya-Allah.
“Terima kasih YWP kerana beri laluan yang mudah di awal perjalanan saya menuju kejayaan,” ujarnya yang berharap agar anak muda di luar sana yang dalam kesusahan tidak mudah menyerah kalah.
Dalam masa yang sama dia juga berharap YWP dapat terus membantu lebih ramai lagi pelajar dan mereka yang tidak berkemampuan terutamanya di Wilayah Persekutuan.
Sebagai rekod, YWP baru-baru ini melancarkan Tabung Kebajikan dan Pelajaran yang dikhaskan untuk membantu warga Wilayah
Persekutuan melalui lima teras iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).
Individu dan badan korporat dialu-alukan untuk menyumbang atau bekerjasama dengan YWP dengan menghubungi pegawai YWP di talian 019-383 1658 (Fadzil), 012-972 3006 (Zaidi) dan 019-881 8780 (Zaleha). -WILAYAHKU