Cakna

YWP belanja 42% dana tabung, fokus naik taraf kehidupan warga kota

YWP fokus salur bantuan merangkumi aspek Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T). - Gambar hiasan
- Diterbit 12 Januari 2024 9:50 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) membelanjakan kira-kira 42 peratus (%) daripada dana Tabung Pendidikan dan Pelajaran kepada sektor pendidikan sepanjang tahun 2023.

Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj berkata perbelanjaan tersebut merangkumi aspek bantuan persekolahan, makanan serta biasiswa pelajar sekolah menengah termasuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

ABDUL RAHMAN

“Segala bantuan yang disalurkan khusus kepada pelajar-pelajar memerlukan, miskin bandar mahupun asnaf di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Selain itu, berdasarkan rekod tahunan juga, YWP berjaya membantu para peniaga dan penjaja kecil yang memerlukan menerusi inisiatif ekonomi yang mencatatkan peratusan kedua tertinggi dalam perbelanjaan tabung tersebut iaitu sebanyak 30 peratus,” kata beliau.

Walau bagaimanapun, aspek teknologi mengekalkan rekod catatan penerima bantuan tertinggi berbanding empat aspek lain dengan jumlah seramai 55,917 penerima.

Jelas beliau, sektor pendidikan merekodkan jumlah penerima sebanyak 5,884 penerima, ekonomi (35,119 penerima), sosial (10,389 penerima) dan agama (2,830 penerima).

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata di peringkat anak-anak syarikat YWP turut merekodkan pencapaian terbaik menerusi YWP Media Sdn Bhd (Wilayahku) yang berjaya meluaskan liputan ke seluruh negara.

“Meskipun akhbar ini diterbitkan secara cetak namun ia turut memfokuskan kepada edaran secara digital melalui platform-platform tersedia seiring kecanggihan teknologi.

“Manakala, Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) juga telah menaik taraf sistem pinjaman perumahannya bagi kemudahan rakyat serta berjaya membantu golongan asnaf membeli rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) melalui pinjaman perumahan yang ditawarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi YWP dan akan terus berganding bahu membantu warga kota memerlukan tanpa ada keciciran menerusi pucuk kepimpinan baharu di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas