DALAM usaha memastikan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bebas rasuah, pihak pengurusannya mengambil inisiatif awal dengan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaizalnizam Zainun, perbincangan bersama SPRM tersebut membantu daripada segi polisi dan prosedur dalam pengurusan dan pentadbiran YWP.
“Kita mengambil inisiatif sendiri untuk berhubung dengan para pegawai dan melihat penambahbaikan polisi dan prosedur sedia ada dalam pentadbiran dan penyerahan sumbangan.
“Hal ini bagi memastikan YWP selari dengan matlamat anti rasuah demi mengekang berlakunya salah guna kuasa atau rasuah dalam apa jua urusan yang dijalankan dalam organisasi,” ujar beliau kepada Wilayahku.
Tambah beliau lagi, setakat ini, tiada sebarang permasalahan yang berlaku malah beberapa penambahbaikan telah pun dilakukan untuk memantapkan lagi prosedur tatacara gerak kerja YWP.
“Sebarang keputusan untuk menambah baik kita akan mendapatkan kelulusan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP dalam menilai dan seterusnya memberi pengiktirafan kepada cadangan-cadangan baharu yang akan dilaksanakan.
“Dalam masa yang sama, YWP juga turut mengharapkan komitmen daripada kakitangan bagi memantapkan integriti dalam diri mereka untuk terus memerangi salah guna kuasa,” ujar beliau lagi.
Mengulas tentang Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Agensi yang telah digariskan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) di bawah inisiatif 2.1.5, Zaizalnizam berkata, ia adalah satu perkara yang amat baik untuk dilaksanakan.
“Ia menjamin bahawa segala prosedur dan tatacara kerja selaras dengan apa yang dikehendaki kerajaan dan saya juga berharap di peringkat YWP, kita dapat laksanakan agar menjadi satu agensi yang diiktiraf dan selari dengan apa yang telah digariskan,” ujar beliau. – WILAYAHKU