Berita

“Yok ke Sekijang naik ETS!” – Dr Zaliha puji laluan baru lebih selesa dan efisien

- Diterbit 21 April 2025 9:14 PM MYT

LALUAN tren elektrik (ETS) dari ibu negara ke Segamat yang mula beroperasi bulan lalu disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang, kawasan parlimen yang terletak dalam Daerah Segamat menyifatkan pembukaan laluan ini sebagai kemudahan besar buat warga Sekijang yang menetap atau bekerja di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, saya sendiri berpeluang mencuba laluan ini dari Stesen Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan tiba di Segamat dalam tempoh kira-kira dua jam sahaja. Perjalanannya sangat selesa, malah dalam koc turut disediakan perkhidmatan makanan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan warga Parlimen Sekijang untuk memanfaatkan kemudahan ini terutamanya sempena musim perayaan atau hujung minggu.

“Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah mengurangkan kesesakan di lebuh raya. Yok ke Sekijang naik ETS – balik kampung kini lebih mudah dan bergaya!” ujar beliau.

Pembukaan laluan ETS ini juga dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelancongan domestik di Daerah Segamat dengan peningkatan jumlah pengunjung dari luar.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas