Berita

Yayasan RI salur dana pembangunan ummah kepada UM, USIM

- Diterbit 22 November 2024 3:14 PM MYT

YAYASAN RI melalui Dar Al-Qari Resources menyalurkan dana sebanyak RM2.25 juta kepada Jabatan al Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) bagi menerbitkan enam Kutub Sittah edisi bahasa Malaysia serta menaik taraf makmal al-Quran.

Kolaborasi dua rakan strategik itu dalam kerja penerbitan Kutub Sittah melibatkan usaha bersepadu dan komprehensif yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Bagi memastikan projek terjemahan ini tidak tersasar dan menepati maksud asal, Yayasan RI dan Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya mengundang pembabitan ulama, mufti, pakar hadis selain pakar bahasa.

Projek terjemahan itu diketuai Profesor Dr Ishak Suliaman yang juga Ketua Jabatan al-Quran dan Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya serta pakar rujuk hadis dalam negara.

Dalam masa sama, Yayasan RI juga menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dalam projek terjemahan kitab suci al-Quran bagi memenuhi keperluan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan dana disalurkan sebanyak RM3.96 juta.

Dana disalurkan kepada USIM itu mencakupi pelaburan yang mengambil masa enam tahun bermula dari kerja-kerja kajian dan penyelidikan sehingga proses penerbitan siap sepenuhnya.

Pengasas Yayasan RI yang baru dilantik sebagai Profesor Adjung Akademi Pengajian Islam, UM, Datuk Rizalman Ibrahim berkata, usaha dakwah dianjurkan hanyalah dalam lingkungan dan kemampuan pertubuhan itu saja.

“Kami di Yayasan RI tidak memiliki semua kepakaran itu. Justeru, kerjasama dengan pihak ketiga seperti UM dan USIM akan membantu merealisasikan hasrat Yayasan RI dan dalam masa sama memenuhi keperluan gelanggang ilmu agama.

“Yayasan RI mahu mengajak masyarakat khususnya golongan dewasa untuk mencintai kalam suci al-Quran selain menghayati dan mendalami ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab suci,” katanya.

Selain dua projek utama itu, Dar Al-Qari Resources juga menubuhkan kelas pengajian al-Quran yang dikenali sebagai Al-Qari secara percuma kepada mereka yang berminat.

Sehingga kini, dua buah pusat pengajian Al-Qari sudah beroperasi di Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Sementara itu, mereka juga kini sedang mengusahakan penubuhan Kariah Rimba yang menjadi flagship Yayasan RI.

Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resources, Jailani Jantan berkata, Kariah Rimba akan menjadi pusat hentian setempat bagi aktiviti keilmuan merangkumi pembelajaran pelbagai cabang ilmu agama.

“Kariah Rimba ialah pusat pengajian lanjutan yang memberikan fokus pada pengajian tafsir al-Quran dan hadis, diikuti dengan penubuhan Kariah Asli/ Pribumi iaitu pusat pengajian al-Quran dan hadis serta fardu ain yang memberi fokus kepada masyarakat Orang Asli,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas