Berita

Yang Di Pertua Dewan Rakyat mulakan jelajah rasmi ke ASEAN esok sempena AIPA

- Diterbit 14 Januari 2025 10:51 AM MYT

YANG Di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan memulakan jelajah rasmi ke ASEAN bermula dengan Thailand esok, diikuti Kemboja pada 16 dan 17 Januari.

Jelajah ini merupakan sebahagian daripada usaha Parlimen Malaysia ke semua negara ASEAN sebagai persediaan penganjuran Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang akan berlangsung di tanah air pada September depan.

Johari yang juga Presiden AIPA ke-46, dalam kenyataannya, berkata jelajah itu dijalankan untuk mendapatkan input bersama Speaker-Speaker Parlimen Asean untuk memastikan Malaysia menjadi tuan rumah AIPA yang terbaik.

“Lawatan ini juga akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

“Perbincangan dalam pertemuan ini akan menumpukan kepada pengukuhan hubungan dua hala, khususnya dalam kerjasama antara parlimen, ekonomi, dan sosial antara Malaysia dan Kemboja.

“Jelajah ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memantapkan hubungan dengan negara-negara ASEAN, selaras dengan matlamat menjadikan rantau ini lebih bersatu, berdaya tahan, terangkum dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Johari dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Perhimpunan Kebangsaan dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Wan Muhamad Noor Matha dan Presiden Senat Thailadn, Mongkol Surajja.

Sementara itu di Kemboja pula, beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas beberapa pemimpin utama negara itu termasuk rakan sejawat, Presiden Dewan Kebangsaan Kemboja, Samdech Maha Rathsapheathika Thipadei Khuon Sudary dan Presiden Senat Kemboja, Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen

Johari juga dijadualkan akan mengadakan jelajah lawatan rasmi beliau ke negara-negara ASEAN dalam masa terdekat dalam memperkukuh hubungan antara institusi legislatif serantau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas