PENGELUAR minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult Malaysia Sdn Bhd bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan program tanggungjawab korporat ‘Kita Jaga Kita’ di 20 buah sekolah terpilih seluruh negara yang melibatkan lebih kurang 58,875 murid baru-baru ini.
Program tersebut menyokong penuh usaha-usaha yang dilakukan oleh KPM dalam usaha memastikan semua sekolah di Malaysia mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam pelaksanaan pembukaan semua sekolah sebelum ini.
Yakult melalui Pengarah Urusannya, Hiroshi Hamada menyatakan bahawa program tanggungjawab korporat ini dijalankan selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu perubatan pencegahan di mana pencegahan lebih baik dari merawat serta kesihatan usus yang baik akan dapat menjamin kesihatan yang berpanjangan.
“Yakult adalah sejenis minuman probiotik yang mengandungi sekurang-kurangnya 30 bilion kultur probiotik hidup , lactobacillus casei shirota strain yang terbuktik secara saintifik membantu fungsi usus secara keseluruhan,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, program tersebut juga sebagai usaha Yakult dalam menyokong program-program yang dianjurkan diperingkat KPM.
Antara aktiviti yang telah di jalankan di sekolah-sekolah terlibat adalah menyediakan 1,660 pelekat yang mempunyai mesej berkaitan penjarakkan fizikal serta langkah penjagaan kesihatan yang baik bagi menangani penularan wabak COVID-19 serta menaja semburan nyahkuman keseluruhan sekolah di lapan buah sekolah terpilih seluruh Selangor.
Terdahulu, majlis penghargaan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong Baru, Kuala Lumpur itu menyaksikan sumbangan 2397 botol Yakult kepada semua pelajar dan guru-guru di sekolah tersebut oleh pihak Yakult. Selain Hiroshi Hamada, turut hadir pengurusan kanan SMK Kepong Baru. -WILAYAHKU