Berita

Yakin martabat negara diangkat

- Diterbit 9 Ogos 2024 11:20 AM MYT

DATUK Azman Abidin terus berjuang demi memberikan perkhidmatan terbaik dalam perihal politik kepada pemimpin negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha politik kepada Perdana Menteri ini fokus untuk membawa kelainan bermula dengan perkara-perkara asas yang memberi perubahan sekali gus membantu Anwar memikat hati rakyat.

Walau banyak cabaran yang harus ditempuhi namun perkara tersebut tidak membataskan semangatnya untuk terus menabur bakti kepada negara tercinta.

Ikuti wawancara eksklusif Wartawan Wilayahku, Syed Hazique bersama Datuk Azman Abidin bagi menceritakan detik pahit manis sepanjang berkhidmat.

Bagaimana karier Datuk Azman bermula?

Saya mula berjinak di dalam dunia politik ini sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada UMNO iaitu pada tahun 1998.

Susulan daripada itu, saya berjuang bersama Anwar Ibrahim dengan penubuhan Parti Keadilan Nasional yang dikenali kini sebagai Parti Keadilan Rakyat.

Pelbagai rintangan, hiruk-pikuk yang telah kami lalui, namun terus cekal di dalam memastikan matlamat reformasi itu tercapai.

Sudah berapa lama Datuk Azman berjuang dalam arena politik ini?

Kalau nak diikutkan kira-kira selama 25 tahun saya sudah aktif di dalam arena politik. Perjalanan ini, tidak semudah disangka, diherdik, dicaci, namun saya tetap kuatkan semangat untuk teruskan perjuangan.

Ia tidak semudah yang disangka tetapi kerana minat dan semangat perjuangan itu yang membuatkan saya berdiri di sini hari ini.

Apakah tanggungjawab atau tugas-tugas yang dijalankan oleh seorang Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri?

Menggalas tugas ini merupakan satu tanggungjawab yang besar dan berat. Ia juga tidak mudah kerana bukan sahaja membantu Perdana Menteri dari segi politik beliau tetapi merangkumi pelbagai hal lain.

Antaranya saya perlu memastikan bahawa apa sahaja visi dan misi Perdana Menteri dapat dicapai kepada rakyat dan anggota-anggota parti yang lain.

Itulah antara tugas-tugasnya, ia nampak mudah tetapi ia sememangnya mencabar dengan banyak rintangan yang perlu ditempuhi.

Di samping itu, ia perlu ditambah dengan komunikasi yang baik untuk tidak menjejaskan kebatasan dalam pemberian maklumat selain telus serta tepat dan cepat.

Pada pandangan Datuk Azman, bagaimanakah penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri?

Penerimaan rakyat sangat baik, maksudnya kita boleh lihat di mana segala polisi-polisi serta dasar-dasar yang dilakukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, rakyat mula menerima dan nampak kesannya.

Kesemua yang dilakukan Perdana Menteri adalah untuk kepentingan rakyat serta pembangunan negara. Malah, Perdana Menteri juga berusaha meningkatkan ekonomi negara dengan mencari pelabur-pelabur antarabangsa untuk meyakinkan mereka melabur di dalam negara.

Rakyat lebih bijak memilih yang terbaik masa kini dan oleh kerana itu saya yakin, sokongan rakyat kepada Perdana Menteri juga tidak berbelah bahagi dan yakin untuk terus memacu negara ke arah lebih gemilang.

Kesan-kesan positif juga sudah mula membuahkan hasil, dengan ringgit yang semakin mengukuh, bursa saham meningkat, prestasi pertumbuhan ekonomi juga turut meningkat.

Terdapat beberapa langkah kurang popular yang dilaksanakan Perdana Menteri melalui kerajaan untuk kepentingan negara serta rakyat, apakah antara penyebabnya?

Segala keputusan yang diambil atau dilaksanakan adalah untuk kepentingan negara serta rakyat bukan demi kepentingan peribadi beliau.

Sudah tentu terdapat sebahagian rakyat yang marah dan menentang keputusan atau dasar yang dilaksanakan antaranya penyasaran subsidi diesel bersasar.

Banyak pihak yang menentang namun, setelah dilaksanakan, ramai mula menerima dan akur, kerajaan juga pada masa sama, memberi nilai bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Objektif utama penyasaran subsidi ini adalah kita mahu mengelakkan ketirisan selain menjimatkan perbelanjaan kerajaan berjumlah berbilion ringgit.

Dalam pada itu, hasil penjimatan itu juga nanti, kerajaan juga akan menggunakan duit tersebut untuk pembangunan negara.

Memang boleh dilihat juga, penyasaran subsidi ini sudah dibincangkan sejak Perdana Menteri sebelum-sebelum ini juga namun mereka tidak berani melakukannya kerana takut hilang sokongan.

Namun, Datuk Seri Anwar laksanakannya demi untuk peningkatan serta pembangunan negara.

Bersempena dengan Bulan Kemerdekaan ini, apa yang Datuk dapat simpulkan tentang semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda masa kini?

Kita perlu faham, semangat sentimen kemerdekaan itu berbeza di antara generasi masa kini dan juga pada masa perjuangan kemerdekaan ketika itu.

Kita perlu fahami, apakah erti kemerdekaan dan perlu didik anak-anak muda masa kini untuk memberi mereka makna kemerdekaan sesebuah negara.

Saya tidak kata mereka kurang bersemangat atau tiada langsung semangat patriotik ditanam di dalam diri mereka namun semua pihak perlu memainkan peranan di dalam memberi pengetahuan tentang nilai kemerdekaan itu kerana ia adalah peristiwa paling bermakna untuk negara.

Kita perlu lebih tanamkan sifat kasih sayang dalam diri mereka terhadap negara yakni perlu menjaga kedaulatan negara serta keharmonian antara kaum di negara ini kerana mereka adalah pemimpin masa hadapan.

Akhir sekali, apakah harapan Datuk Azman kepada rakyat?

Sudah semestinya hasrat saya ingin melihat negara saya lebih baik serta paling utama martabat negara dinaikkan semula supaya menjadi sebuah negara yang hebat.

Ini kerana Malaysia pernah menjadi antara negara yang hebat di rantau Asia dari segi ekonomi serta sukan. Saya nak negara kita bangkit semula.

Bersama-sama kita seluruh rakyat Malaysia bersatu padu berganding bahu terus memacu negara ke arah masa hadapan yang lebih gemilang sekali gus menjadikan Malaysia negara yang disegani bukan sahaja di rantau Asia malah di seluruh dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas