WISMA Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang dalam persediaan evakuasi 15 rakyat Malaysia yang masih berada di Lubnan.
Menurut Wisma Putra, ia turut melibatkan tiga warga asing yang merupakan pasangan kepada rakyat Malaysia itu.
“Empat rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di Lubnan manakala empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di sana sehingga dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Wisma Putra menambah, berikutan situasi yang semakin meruncing, sembilan rakyat Malaysia telah meninggalkan Lubnan secara sukarela sebelum ini.
Terdahulu, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat terhadap Lubnan.
Wisma Putra berkata, kekejaman rejim zionis itu secara jelas telah melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan.
“Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim zionis melaksanakan gencatan senjata bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan.
“Penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau tersebut,” katanya. – WILAYAHKU