KUALA LUMPUR – 30 pasukan cilik bakal berentap merebut gelaran juara WILAYAHKU Junior Championship 2020 yang dianjurkan oleh Wilayahku pada 1 hingga 2 Febuari ini di padang bola sepak KLFA, Taman Melawati.

Kejohanan bola sepak bawah 12 tahun ini diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada Febuari akan datang.
Menurut Eksekutif Jualan dan Pemasaran Wilayahku, Zuhairi Mazlan, objektif utama penganjuran ini adalah bagi mengukuhkan imej Wilayahku sebagai akhbar utama bagi warga Wilayah Persekutuan.
“Selain usaha menguatkan jenama akhbar ini, kita juga mengambil kesempatan untuk menyemai serta menyemarakkan semangat Hari Wilayah dalam kalangan kanak-kanak yang bakal menyertai WILAYAHKU Junior Championship 2020,” ujarnya.
Kejohanan anjuran bersama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Kuala Lumpur Rovers Academy (KLRA) ini memperuntukkan hadiah berupa medal dan piala bagi pasukan yang berjaya.
Bagi yang berminat untuk menyertai kejohanan ini, boleh menghubungi sekretariat KLRA di talian 012-218 2446 atau 012-237 6139. -WILAYAHKU