PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Pelaburan Negara yang turut membincangkan berkaitan pembangunan kluster industri di Wilayah Tengah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata mesyuarat itu adalah kesinambungan daripada mesyuarat bulan lalu terkait inisiatif pembangunan kluster industri di Wilayah Tengah.
Wilayah Tengah itu melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri telah bersetuju dengan inisiatif ini dengan beberapa penambahbaikan seperti menggalakkan connectivity antara negeri yang terlibat.
“Selain itu, ia memberi tumpuan kepada elemen pembangunan rentas sempadan yang dapat menyumbang kepada limpahan ekonomi merentasi sempadan negeri sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya di Facebook.
Menurut Zaliha usaha itu akan dapat menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan yang akan memberi manfaat ekonomi kepada rakyat.
Beliau berkata ini sekali gus akan meningkatkan daya saing di Wilayah Tengah sebagai Pusat Industri Negara, khususnya Kuala Lumpur. – WILAYAHKU