MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan Wilayah Persekutuan akan memastikan kelancaran Tahun Kepengerusian ASEAN 2025.
Zaliha, berkata pada Mesyuarat Khas Kepengerusian ASEAN yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang tadi, perbincangan penyelarasan sepanjang sidang kemuncak telah pun dibuat.
“Wliayah Persekutuan bersedia untuk memainkan peranan dalam memastikan kelancaran penganjuran ASEAN 2025.
“Pada 11 Oktober lalu, Lao PDR secara rasminya menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Malaysia di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45.
“Sehubungan itu, sebentar tadi satu Mesyuarat Khas Kepengerusian ASEAN telah dilaksanakan dan dipengerusikan YAB Perdana Menteri,” katanya.
Mesyuarat itu kata Zaliha, bertujuan untuk menyelaraskan perbincangan membabitkan persiapan Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN, di samping memastikan koordinasi rentas kementerian dilaksanakan dengan teratur.
“Malaysia amat komited untuk memperkukuh kerjasama antara negara anggota disamping mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
“Selain itu kita juga ingin menumpukan usaha ke arah integrasi ekonomi, memperkukuh jaringan keselamatan bagi menangani isu-isu seperti perubahan iklim dan keselamatan makanan,” katanya lagi. -WILAYAHKU.