WILAYAH Persekutuan menerima peruntukan sebanyak RM23.61 bilion dalam Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Wilayah Persekutuan berada pada kedudukan kedua tertinggi selepas kategori “Pelbagai Negeri” dengan peruntukan RM30.21 bilion.
“Kategori “Pelbagai Negeri” adalah kategori projek pembangunan yang melibatkan dua negeri atau lebih seperti projek jajaran lebuhraya dan juga projek pemindahan air merentas negeri.
“Dalam hal ini, perbelanjaan Wilayah Persekutuan adalah RM16.39 bilion dengan prestasi belanja sebanyak 69.40 peratus berada di atas prestasi keseluruhan sebanyak 65.83 peratus,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan – Kota Belud) yang meminta perincian jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan berserta peratusan dan jumlah projek bagi tahun 2024 untuk setiap negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia serta jumlah prestasi belanja berbanding peruntukan asal setakat bulan Oktober 2024; dan apakah penambahbaikan dari sudut prosedur pelaksanaan projek di Sabah dan di Sarawak agar lebih berkesan dan tidak mengalami kelewatan di parlimen hari ini.
Zaliha berkata Wilayah Sabah dan Sarawak masing-masing menerima peruntukan RM6.67 bilion dan RM5.81 bilion namun mencatatkan prestasi belanja agak rendah.
“Kedua-dua Wilayah berkenaan hanya mencatatkan 46.70 peratus bagi Sabah dan 54.43 peratus bagi Sarawak, di bawah prestasi keseluruhan.
“Negeri di Semenanjung Malaysia yang mencatatkan prestasi belanja terendah ialah Kedah pada kadar 53.43 peratus,”katanya.
Menurut Zaliha, Sabah dan Sarawak mencatatkan jumlah projek tertinggi iaitu 1,244 dan 1,124 berbanding Perlis yang hanya mempunyai 172 projek.
“Bagi Pahang, negeri tersebut mencatatkan prestasi belanja tertinggi iaitu 74.65 peratus, diikuti Melaka mencatatkan prestasi belanja kedua tertinggi iaitu 74.27 peratus, walaupun jumlah peruntukannya adalah paling rendah iaitu RM927 juta.
“Manakala Terengganu pula di tempat ketiga dengan prestasi 72.39 peratus,”katanya.
Jelas Zaliha, Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan pembangunan di seluruh negara berjalan dengan lancar agar peruntukan yang disalurkan dapat dibelanjakan secara optimum.
“Ianya hanya dapat dilaksanakan selaras dengan Arahan No.1 Tahun 2023: Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara yang merangkumi platfom di peringkat negeri seperti Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) dan juga Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNg),”katanya.
Tambah beliau, antara langkah lain yang telah diambil bagi menambah baik dari sudut prosedur pelaksanaan program/projek pembangunan di Sabah dan Sarawak adalah melalui pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR)Sabah / Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah/ Sarawak sebagai Jabatan Teknik bagi melaksanakan semua projek yang bernilai RM50 juta dan ke bawah di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 182 yang telah berkuatkuasa sejak 1 Mac 2023.-WILAYAHKU