Atlet Wilayah

Wilayah Persekutuan raih emas pertama tenis

SKUAD tenis campuran bersama pingat emas yang berjaya diraih di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA).
- Diterbit 19 Ogos 2024 2:26 PM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan meneruskan misi juara di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dengan cemerlang apabila berjaya meraih emas pertama bagi acara tenis.

Pada aksi akhir tenis berpasukan campuran yang berlangsung di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di sini hari ini, menyaksikan Wilayah Persekutuan mengecewakan Perak 3-2.

Wilayah Persekutuan membuka akaun pungutan mata menerusi perseorangan lelaki Darrshan Suresh Kumar yang menewaskan Azfar Haruya Amir Syahrul 6-1, 6-0 sebelum wakil wanita Perak Shihomi Li Xuan Leong mengalahkan Lynn Lim 6-0, 6-0.

Beregu lelaki Leroy Yong Nan Er-Nicholas Kong Yi Ren kembali meletakkan Wilayah Persekutuan di depan dengan mata kedua apabila menewaskan Daniel Leong Prickett-Muhammad Farreez Isqandar 6-3, 6-2.

Gandingan Aqil Adibi Rahiman-Nao Phang Ziyi memberi mata kemenangan ketiga buat Wilayah Persekutuan apabila menewaskan beregu campuran Perak Muhammad Adam Aqil Anuar-Hana Mohd Sahi 6-1, 6-4.

Mata kedua perak diperoleh gandingan wanita Catherine Eva Liew-Hannah Sean Ean Yip setelah menewaskan Athilla Miasara Azizul Azhar 4-6, 6-2.

Sementara itu, Selangor meraih gangsa selepas menewaskan pasukan tuan rumah 4-1. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas